Wanita 'sorok' barang runcit, kosmetik bernilai RM585,000

TUMPAT - Seorang wanita dicekup Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa selepas dipercayai terlibat kegiatan penyeludupan barangan runcit dan kosmetik bernilai RM585,000 di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor di sini pada Isnin.
Suspek berusia 38 tahun itu dikatakan menyimpan kesemua barangan terbabit di rumahnya sebelum dijual ke pasaran tempatan melalui dalam talian.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan dan rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota pada jam 3 petang apabila menyerbu sebuah rumah atas maklumat penyeludupan barang dari Thailand semasa Op Taring Wawasan.

"Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai barangan runcit dan produk kosmetik dipercayai diseludup dari negara jiran ditemukan dalam rumah tersebut tanpa dokumen sah.
"Semua barangan runcit dan produk kosmetik ini untuk dijual ke pasaran tempatan melalui dalam talian," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983 serta Seksyen 7(1)(e) Peraturan Dadah dan Kosmetik.
Ujarnya, barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

