Forest beri tentangan sukar kepada Liverpool

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menyifatkan Nottingham Forest memberikan cabaran sukar kepada Liverpool ketika diikat 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Rabu.
The Reds terselamat daripada kekalahan apabila Diogo Jota meledak gol penyamaan pada separuh masa kedua untuk memadam jaringan awal Forest menerusi Chris Wood.
Liverpool kelihatan jauh daripada prestasi terbaik mereka menentang pasukan Nuno Espirito Santo itu, namun mereka kekal enam mata puncak carta EPL selain memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding Forest.
"Saya tidak boleh meminta lebih hari ini. Saya fikir kebanyakan orang akan bercakap secara positif mengenai separuh masa kedua tetapi jika anda bermain di gelanggang ini menentang pasukan yang berada dalam prestasi begitu baik, ia cukup sukar.
"Kami hanya melepaskan satu serangan balas hari ini dalam 98 minit perlawanan. Itu adalah penguasaan menyeluruh.
"Ia bukan apa yang kami mahukan. Kami mahukan tiga mata, tetapi apa yang saya mahu dan apa yang pemain sepatutnya mahu iaitu memberikan segalanya dalam setiap perlawanan diharungi mereka.
"Itulah yang mereka lakukan hari ini," katanya.
Perlawanan itu merupakan satu lagi persembahan mengagumkan oleh Forest, walaupun penjaga gol Mats Selz telah dipaksa menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pada separuh masa kedua untuk menghalang Jota dan Cody Gakpo.
Ditanya sama ada dia melihat Forest sebagai pencabar kejuaraan tulen, Slot berkata: "Saya tidak fikir mereka berada di sini kerana nasib. Bagi setiap pasukan, mereka sukar untuk ditentang.
"Mereka sudah pun mengharungi beberapa perlawanan di tempat lawan yang sukar, menentang Manchester United, Manchester City, Arsenal dan pasukan Liverpool.
"Itu menunjukkan anda bahawa mereka adalah pasukan yang boleh bersaing di kedudukan teratas liga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!