Lelaki lemas ketika menyeberangi sungai

SIBU - Seorang pekerja talian elektrik yang dilaporkan hilang ketika berenang menyeberangi sungai di Rh Manggin, Nanga Buan, Ngemah, Kanowit petang semalam ditemukan lemas pada Selasa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata Mohamad Hamizan Reduan, 25, ditemui 11.34 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), tiga meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
"Enam selaman dilakukan pada kedalaman lima meter di lokasi terakhir mangsa dilihat, di tengah-tengah sungai, dengan radius pencarian sembilan meter,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa dipercayai lemas ketika berenang kembali ke rumah sewanya selepas makan tengah hari di seberang sungai.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!