Abah Saya, Uncle Mike diinspirasi daripada kisah benar

KEIKHLASAN Micheal Tong Wai Siong menjaga tiga beradik yatim piatu beragama Islam dan diberikan didikan agama sempurna telah memberi inspirasi kepada ramai.
Atas faktor itu mendorong Astro Shaw dengan kerjasama strategik Etika Sdn Bhd mengangkat kisah mereka dalam filem, Abah Saya, Uncle Mike.
Abah Saya, Uncle Mike mengisahkan perjalanan menyentuh hati Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak angkat berbangsa Melayu sejak kecil dan menghormati agama Islam mereka.
Filem ini menampilkan barisan pelakon pelbagai budaya, dengan Andy Teh memegang watak Uncle Mike bersama Idan Aedan sebagai anak sulung, Rafei; Nor Merah sebagai anak kedua, Rasyid; dan Umar Shakur iaitu pemenang Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2024 sebagai anak bongsu, Rahman.
Abah Saya, Uncle Mike diarahkan sutradara muda berbakat besar, Ezrie Ghazali turut dimeriahkan dengan kehadiran Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan, dan Pauline Tan.
Menurut Penerbit Eksekutif Filem Abah Saya, Uncle Mike merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, kesudian Uncle Mike menjaga tiga beradik biarpun berlainan agama dan bangsa sangat menyentuh hati, lebih-lebih lagi ia hanya didedahkan di media selepas 16 tahun.

“Kami yakin kisah Uncle Mike mampu memberi impak kepada perubahan sosial dan menyuntik kesedaran tentang kepentingan berbaik sesama manusia.
“Filem Abah Saya, Uncle Mike memulakan sesi penggambaran pada Januari dan menyasarkan tayangan pawagam pada tahun ini.
“Selaras dengan mesej dan tema perpaduan, ia memberi peluang kepada Astro Shaw serta Etika untuk mempersembahkan programatik treler edisi perayaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!