'Usah tolak tawaran MRSM kerana masalah kewangan' - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR - Pelajar yang diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi 2025 diharap tidak menolak tawaran hanya disebabkan faktor kemiskinan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah menghubungi semua MRSM agar menerima kemasukan pelajar yang terpilih walaupun mempunyai masalah kewangan.
Menurutnya, beliau tidak mahu mana-mana pelajar yang kurang berkemampuan atau luar bandar akan terkandas untuk menyambung pelajaran di MRSM hanya kerana bebanan kos.
"Kita telah hubungi semua MRSM, kalau ada masalah kewangan untuk tampung kos beli baju, kelengkapan asrama dan sebagainya, terima mereka dahulu kemudian kita akan cari jalan untuk membantu.
"Saya ingin tekankan pelajar yang berhadapan dengan situasi berkenaan boleh menghubungi MRSM atau MARA untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar mengenai pencapaian Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) di sini pada Isnin.
Sebelum ini, seramai 8,909 pemohon ditawarkan ke MRSM bagi sesi 2025.
Daripada jumlah itu, 7,229 tempat disediakan bagi kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 manakala sebanyak 1,680 tempat disediakan bagi kemasukan ke Tingkatan 4.
Asyraf Wajdi turut mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya diterima masuk ke MRSM.
Tambahnya, bagi pelajar yang tidak berjaya ia bukan bermakna mereka tidak pandai atau kurang cemerlang namun sudah ditakdirkan tuhan.
"Bagaimanapun, saya percaya rakyat hari ini memberi kepercayaan tinggi kepada sistem pendidikan Mara untuk membangunkan sahsiah dan akademik pelajar cemerlang.
"Oleh itu,Mara akan terus komited untuk menyediakan platform terbaik demi masa depan pada masa akan datang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!