Dua penyeludup leka punggah rokok cabut lari tinggalkan barang seludup

TAWAU - Dua individu yang sedang leka memunggah rokok yang baru diseludup masuk ke Tawau, bertindak melarikan diri meninggalkan barangan tersebut sebaik menyedari kehadiran Pasukan Polis Marin (PPM) dalam kejadian di kawasan jambatan Kampung Icebox, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, sebanyak 1,570 kotak rokok yang ditinggalkan berjaya dirampas menerusi Op Taring Landai Khas di bawah Op Kontraban yang dijalankan di kawasan terbabit.
Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, bertindak atas risikan pihaknya berjaya mengesan aktiviti melibatkan penyeludupan rokok di kawasan tersebut.
"Sepasukan anggota Unit Risikan PPM Tawau telah membuat pemantauan di kawasan tersebut yang dipercayai dijadikan tempat pemunggahan sementara rokok seludup dari negara jiran.
"Hasil pemantauan yang dijalankan di kawasan jambatan kampung berkenaan telah terlihat dua individu dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah beberapa kotak.
"Apabila dua individu tersebut menyedari kehadiran pasukan PPM, mereka telah melarikan diri masuk ke perkampungan atas air," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kotak terbabit telah menemui pelbagai jenama rokok yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran ke Tawau.
"Pemeriksaan lanjut terdapat sebanyak 26,200 batang atau 1,570 kotak rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM 38,580 dipercayai untuk dipasarkan di daerah ini.
"Pemeriksaan seterusnya dijalankan di kawasan kejiranan itu bagi mengesan pemilik rokok namun gagal," katanya.
Mohd Nazri berkata, semua barang rampasan dibawa ke pejabat PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
"Rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
