[VIDEO] Desak siasat pek sandwic didakwa ada unsur daging babi
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa pihak polis atau agensi berkaitan untuk menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung penemuan pek sandwic yang diragui status halal serta dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Beliau mendakwa, bagaimana kedai serbaneka itu memperoleh logo halal dan dipaparkan pula pada bungkusan sandwic, kemudian dijual kepada pelajar.
"Maksud ham iaitu ada unsur khinzir atau daging babi. Bila masa ham halal dan bagaimana produk ini dapat logo halal?
"Kalau 'ham dan keju' pun dapat logo halal, produk lain macam mana? Apa jaminan keselamatan produk yang dijual halal dalam premis ini?
"Laporan polis pun sudah dibuat, saya minta pihak polis dan agensi terlibat untuk siasat, tolong ambil tindakan. Ini bukan kali pertama, cukup-cukuplah mereka persenda agama Islam," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan UM menutup dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwic itu.
UM dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan penutupan dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan yang dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu.
Jelasnya, premis berkenaan ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Tambah kenyataan itu, UM sentiasa memastikan bahawa produk dijual dalam kampus adalah daripada pembekal yang mematuhi undang-undang, piawaian, peraturan dan prosedur ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!