Kamera papan pemuka umpama CCTV bergerak, penyelamat di jalan raya

Perbuatan jenayah yang dirakamkan dashcam umpama satu sistem CCTV bergerak. Foto hiasan
Perbuatan jenayah yang dirakamkan dashcam umpama satu sistem CCTV bergerak. Foto hiasan
A
A
A

BEBERAPA hari lalu, kereta kawan Merak Jalanan dilanggar dari belakang. Panik juga dia sebab tak biasa menghadapi situasi sebegini.

Tapi yang lebih membingungkan, pemandu kereta yang melanggar kawan Merak Jalanan itu cuba memutarbelitkan cerita, menyalahkan rakan Merak Jalanan itu untuk menuntut ganti rugi.

Mujurlah kereta rakan Merak Jalanan itu ada dipasang kamera papan pemuka atau biasa dipanggil dashcam.

Bukti rakaman tersebut ditunjukkan kepada pihak berkuasa dan jelaslah kemalangan itu bukan salah kawan Merak Jalanan. Akhirnya dia dapat menarik nafas lega kerana boleh membuat tuntutan insurans pihak ketiga.

Melihat kepada insiden itu, Merak Jalanan terfikir betapa pentingnya penggunaan dashcam pada kenderaan ketika ini.

Kalau tengok di media sosial pun, ramai yang berkongsi rakaman gelagat tidak bertanggungjawab segelintir pemandu di jalan raya.

Perbuatan jenayah yang dirakamkan dashcam umpama satu sistem kamera litar tertutup (CCTV) bergerak.

Dashcam juga sebenarnya dapat memastikan pemanduan berhemah dan menggalakkan pemandu tidak melakukan kesalahan trafik kerana bimbang rakaman tersebut menjadi tular.

Sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya dan mengelak perbuatan khianat.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan percaya, majoriti pengguna kenderaan sudah menyedari kepentingan memasang peranti tersebut.

Namun, ada juga yang mengatakan untuk memasang dashcam memerlukan kos tinggi. Tapi bagi Merak Jalanan, keselamatan itu lebih penting daripada wang ringgit.

Di pasaran pun sekarang banyak jenis dashcam dijual daripada harga kayangan hinggalah yang mampu milik. Terpulang kepada bajet masing-masing.

Bagi Merak Jalanan, yang penting kita sudah ‘sediakan payung sebelum hujan’ sebelum berlaku insiden tidak diingini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!