PLKN 3.0 siri dua, tiga bermula Mei dan September

SHAH ALAM - Siri kedua dan ketiga bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada 2025 akan diadakan di dua kem berbeza mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, PLKN 3.0 Siri 2/2025 akan bermula 1 Mei hingga 24 Jun 2025, manakala Siri 3/2025 pula pada 7 September hingga 21 Oktober 2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah.

"Secara khususnya PLKN 3.0 dilaksanakan berdasarkan objektif seperti berikut meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk dan menyatupadukan golongan muda dari pelbagai kaum serta integriti nasional.
"Ini termasuk untuk membentuk perwatakan positif dan mengamalkan nilai murni, menanam serta menyemarakkan semangat kesukarelawan dan melahirkan generasi muda yang cergas, cerdas serta berkeyakinan," katanya pada Ahad.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, PLKN 3.0 Siri 1/2025 menerima penyertaan seramai 120 orang pelatih secara sukarela terdiri daripada 80 lelaki dan 40 wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Menurutnya, jumlah berkenaan sudah termasuk dengan 13 pelatih yang hadir secara 'walk-in' sewaktu sesi pendaftaran berlangsung pada Ahad.
Tambah kenyataan itu, pelatih yang hadir terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama, pendidikan dan lokaliti.

"Pelatih akan diberikan pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik sepanjang program PLKN 3.0. Modul latihan mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan.
"Bagi modul Latihan Asas Ketenteraan, pelatih akan dilengkapkan dengan kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, kesejahteraan hidup Malaysia Madani dan kemahiran kepimpinan.

"Modul Komponen Kenegaraan akan mendedahkan pelatih dengan latihan tentang elemen jati diri, patriotisme dan memperkukuh perpaduan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!