Menteri PH jadi angkuh?

No Image Caption
A
A
A

AWANG tabik hormat pada Tun Daim Zainuddin yang tak pernah berlapik bila bercakap. Beliau cakap jujur dan tak ada selindung-selindung. Memang kita tahu cara Tun Daim dari dulu.

Maka itu, bila beliau komen bahawa ada menteri Kabinet yang bukan sahaja angkuh tetapi enggan menerima pandangan orang ramai, kita tidaklah terkejut sangat.

Ada pula antara mereka yang enggan jawab surat. Alasannya mereka sibuk. Kata Tun Daim, menjadi menteri Kabinet memang sibuk tetapi mereka tidak boleh lupa bahawa mereka perlu berkhidmat untuk rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat.

Kata beliau lagi: “Saya tahu orang ramai tidak gembira. Mereka beranggapan sesetengah menteri telah menjadi angkuh dan tidak mendengar.”

Awang tak mahu komen banyak pasal kenyataan Tun Daim ini. Awang serahkan pada para menteri dan orang di sekeliling mereka. Pada pendapat Awang, mereka perlulah ambil iktibar pandangan orang seperti Tun Daim.

Awang sedar banyak aduan mengenai orang keliling menteri. Mereka inilah yang beri masalah pada menteri. Banyak di antara mereka orang baharu yang tidak ada pengalaman. Ada yang dirikan tembok besar di sekeliling menteri. Media pun selalu komplen pasal tak dapat hubungi menteri.

Pejabat menteri pun banyak orang yang anggap menteri mereka istimewa. Tak layan pun surat orang ramai. Nak buat temu janji apatah lagi.

Awang harap para menteri sendiri buka mata dan terima teguran Tun Daim dengan terbuka.

Artikel Berkaitan: