Tidak mustahil PM dari Pas - Dr Tengku Muhammad Fakhruddin
KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas mengakui parti itu memiliki calon yang mampu memenuhi kriteria serta syarat-syarat, sekali gus membolehkannya memegang jawatan Perdana Menteri.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Pemuda Pas Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, ia diperkukuhkan dengan ciri-ciri kepimpinan bijak, strategi berkesan dan kerjasama erat bersama pelbagai pihak.
"Dalam landskap politik Malaysia yang dinamik, persoalan sama ada ahli politik Pas boleh menjadi Perdana Menteri sering menjadi omokan dan perbincangan dalam kalangan parti lawan dan komponen.
"Untuk memahami kemungkinan ini, kita perlu meneliti beberapa perkara utama yang diperlukan untuk memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan Malaysia," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sura menyatakan, empat kriteria dipenuhi Pas antaranya Melayu dan Islam, hubungan baik dengan istana, adil dan saksama serta kreatif mencari hasil untuk negara.
"Secara tradisi dan sejarah, jawatan Perdana Menteri di Malaysia dipegang oleh individu yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ini adalah sejajar dengan demografi dan sensitiviti politik negara.
"Pas sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam, sememangnya memenuhi kriteria ini dengan kebanyakan anggota dan pemimpinnya terdiri daripada golongan Melayu Islam," jelasnya.
Selain itu, katanya, hubungan baik dengan istana penting malah raja-raja Melayu memainkan peranan penting dalam struktur politik negara dan sokongan mereka kerap kali dilihat sebagai legitimasi tambahan kepada kepimpinan politik.
Jelas beliau, budaya politik matang dan sejahtera serta pemerintahan Pas di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tanpa wujud sentimen balas dendam terhadap kerajaan terdahulu memenuhi kriteria adil dan saksama.
"Sepanjang pentadbiran Pas di empat buah negeri, hubungan harmoni dan saling menghormati dengan pihak istana telah berlaku bahkan Pas sentiasa menjunjung kedaulatan institusi diraja," ujarnya.
Selain itu, beliau menyatakan kemampuan untuk merancang dan melaksanakan strategi ekonomi mampan penting bagi seorang Perdana Menteri termasuk mencari sumber pendapatan baharu dan memperkukuhkan ekonomi negara.
"Penubuhan State Goverment 4 (SG4), pemerkasaan industri unsur nadir bumi (REE), peningkatan hasil dan pelaburan di Kedah dan Terengganu menunjukkan kemampuan Pas mentadbir dan mencari hasil baharu untuk negara.
"Secara keseluruhannya, tidak mustahil bagi seorang ahli politik dari Pas untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin calon tunggal jawatan Perdana Menteri dari Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dalam satu kenyataan menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon PM gabungan itu.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu dipetik berkata, Pas layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat dalam PN yang diterajui Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!