Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan umum keluar parti
SHAH ALAM - Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan beliau keluar dari parti itu setelah meletakkan semua jawatan termasuk di dalam Perikatan Nasional (PN).
Menerusi satu surat diutuskan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Radzi Md Jidin, Mahathir menyatakan hasrat peletakan jawatan dalam parti termasuk jawatan Setiausaha PN Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Mahathir dalam surat berkenaan tidak memperjelaskan alasan keputusan itu dibuat.
"Saya dengan ini melepaskan jawatan selaku Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan Setiausaha PN Wilayah Persekutuan serta juga mengumumkan peletakan keahlian dalam Bersatu berkuat kuasa serta-merta," katanya menerusi sepucuk surat tersebut.
Berdasarkan sumber dalaman Bersatu, keputusan mengejut Mahathir itu dibuat susulan rasa ketidakpuashatian pemimpin berkenaan terhadap hala tuju dan perjuangan parti yang dianggapnya semakin tersasar.
Bagaimanapun, Mahathir sewaktu dihubungi Sinar Harian hanya memberi alasan untuk 'fokus beribadah' apabila ditanya tujuan beliau bertindak nekad untuk keluar parti.
"Terima kasih kerana hubungi saya. Saya akan memberi maklum balas mengenai perkembangan terkini (masa hadapan saya).
"Saya akan pergi mengerjakan umrah bermula 22 Januari ini dan hanya selepas itu baru saya akan menentukan masa depan (karier politik) saya.
"(Ditanya punca beliau bertindak keluar parti) Fokus beribadah," katanya secara ringkas menerusi khidmat pesanan aplikasi WhatsApp.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!