ECRL di Terengganu: Buka 23,000 peluang pekerjaan - MB

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu dengan jajaran sepanjang 250 kilometer bakal menelan kos sebanyak RM15 bilion, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, ECRL berupaya menjadi ‘game changer’ (pembawa perubahan) bagi negeri Terengganu seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri itu secara menyeluruh.

Selain itu, katanya, ia juga dijangka membuka 23,000 peluang pekerjaan baharu di negeri tersebut.

Ahmad Samsuri berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) bagi kerjasama strategik pelaksanaan ECRL di sini hari ini.

“Kerjasama ini tidak terhad kepada fasa pembinaan semata-mata malah akan terus ditambah baik melalui peranan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam merangkumi aspek-aspek pembangunan pusat industri dan logistik yang mampu melonjak ekonomi negeri,” katanya.

Ahmad Samsuri, yang juga pengerusi Terengganu Inc berkata, perbadanan itu akan menjadi wakil kerajaan negeri dalam menyelaras, memudah cara dan bertindak sebagai medium antara MRL, CCCECRL dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, kerja-kerja tanah dan aktiviti fizikal ECRL di negeri Terengganu telahpun bermula dan enam lokasi iaitu Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai dikenal pasti bagi pembinaan stesen ECRL di negeri berkenaan.

Menurutnya, selain menggalakkan pertumbuhan industri pembinaan, projek ECRL itu juga akan dapat meningkatkan mobiliti penduduk tempatan serta mampu mengubah sosioekonomi negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pembinaan projek ECRL yang kini telah 15 peratus siap secara keseluruhannya tidak terjejas dengan penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, lebih 200 pekerja warga China telah pulang ke Malaysia dan mula bekerja selepas dikuarantinkan selama dua minggu di kem-kem yang terletak di negeri-negeri Pantai Timur.

Darwis berkata, kira-kira 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja ECRL adalah warga China dan 800 pekerja warga China tidak pulang ke China semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

“Kami tidak menjangkakan sebarang masalah berkaitan dengan pembinaan kerana hakikatnya kita telah melantik beberapa kontraktor tempatan untuk menjalankan kerja-kerja awal yang telah dilaksanakan di tapak,” katanya. - Bernama