Zaleha Hamid sudah mampu gerakkan kaki, tangan

Ungku Muhammad Danial memasukkan susu melalui tiub di hidung ibunya.
Ungku Muhammad Danial memasukkan susu melalui tiub di hidung ibunya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penyanyi popular era 80-an, Zaleha Hamid, 65, yang terlantar akibat diserang angin ahmar peringkat permulaan (minor stroke) kini sudah mampu menggerakkan kaki dan tangannya selepas menjalani terapi dan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55, berkata, dia dan dua anaknya, Ungku Chik Zafirul Azman, 32, dan Ungku Muhammad Danial, 24, gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan isterinya itu.

Ungku Sulaiman yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Seelong, Senai sudah sebulan mengambil cuti untuk menguruskan isterinya termasuk menyediakan keperluan harian dan menghantar Zaleha menjalani terapi di HSA.

"Zaleha kini bergantung dengan susu formula khas yang dimasukkan melalui tiub di hidung dan memakai lampin pakai buang.

"Dia (Zaleha) pernah cakap dia asyik susahkan saya dan anak-anak untuk jaga dia sakit. Saya beritahu kepadanya ini semua ujian ALLAH," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Skudai Baru ketika menerima kunjungan Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu di sini hari ini.

Turut hadir, Kelab RTM Johor Bahru dan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) RTM Johor Bahru.

Mohd Khuzzan melawat Zaleha di rumahnya di Taman Skudai Baru.
Mohd Khuzzan melawat Zaleha di rumahnya di Taman Skudai Baru.

Ungku Sulaiman berkata, selepas diserang angin ahmar pada Disember tahun lalu, Zaleha hanya terbaring.

Artikel Berkaitan:

"Keadaannya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Selain terapi dan mandi, dia diurut kerana doktor nasihatkan kaki dan tangannya perlu sentiasa digerakkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, kerajaan negeri akan membantu mempercepatkan urusan di hospital selain bantuan-bantuan yang diperlukan Zaleha.

Zaleha antara perintis awal kepada irama muzik dangdut di Malaysia.
Zaleha antara perintis awal kepada irama muzik dangdut di Malaysia.

"Majlis Kebudayaan Negeri Johor akan melawat Zaleha bagi melihat keadaan beliau. Kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan artis lama tanah air," katanya.

Pelantun suara bagi lagu-lagu dangdut dan irama hindustan itu diserang angin ahmar peringkat permulaan dipercayai selepas terjatuh di bilik air rumahnya, 23 Disember lalu.

Kejadian dikatakan berlaku selepas dia pulang dari Kuala Lumpur bagi menghadiri siaran langsung program pentas akhir Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada 22 Disember lalu.

Zaleha adalah penyanyi dan penghibur yang terkenal di Malaysia dan Singapura, selain antara perintis awal kepada irama muzik dangdut di Malaysia.

Beliau turut digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut Singapura.

Zaleha mula berkecimpung dalam dunia seni sejak berusia 5 tahun bersama bapanya, Abdul Hamid Tambi Kecik menjayakan persembahan Panggung Bangsawan yang terlibat dengan persembahan muzik sekitar 60-an.

Ungku Sulaiman (kanan) membantu anaknya Ungku Muhammad Danial memasukkan susu melalui tiub di hidung Zaleha.
Ungku Sulaiman (kanan) membantu anaknya Ungku Muhammad Danial memasukkan susu melalui tiub di hidung Zaleha.