Dr Mahathir sedia serah jawatan bila-bila masa

Dr Mahathir diiringi oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir diiringi oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara pada bila-bila masa.

Tegasnya, pendiriannya itu selari dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Saya dah cakap saya bersedia bila-bila masa (kalau) hendak suruh saya letak jawatan, saya letak jawatan.

"Tetapi janji saya, saya akan letak jawatan dan saya akan letak jawatan.

"Apa juga keputusan yang dibuat (dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH) saya akan letak jawatan selepas APEC," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Dewan Seri Endon Puspanitapuri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat ini akan memutuskan tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri.

Pengerusi PH itu berkata, beliau juga tidak akan membangkitkan isu itu dalam mesyuarat berkenaan.

"Saya akan menjadi pengerusi.., jadi kerusi," katanya secara berseloroh kepada pemberita.

Artikel Berkaitan:

Isu peralihan jawatan Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencetuskan pelbagai polemik.

Sebelum ini, Pas dilaporkan menyatakan pendirian untuk menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal menerusi usul undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.