THT tak dabik dada

THT meraikan kejayaan memenangi Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan UniKL menerusi penalti ‘shoot out’ 3-1 selepas terikat 2-2 pada perlawanan Sumbangsih Liga Hoki Malaysia TNB 2019 di Stadium Hoki Batu Burok, semalam. - Foto Bernama
THT meraikan kejayaan memenangi Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan UniKL menerusi penalti ‘shoot out’ 3-1 selepas terikat 2-2 pada perlawanan Sumbangsih Liga Hoki Malaysia TNB 2019 di Stadium Hoki Batu Burok, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

TERENGGANU Hockey Team (THT) tidak mahu mendabik dada meskipun selepas bergelar juara Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia 2019 semalam, sebaliknya akan terus memberi tumpuan terhadap saingan liga yang akan bermula Ahad ini.

Jurulatih, I Vikneswaran berkata meskipun THT mempunyai bekal satu mata setelah memenangi piala itu buat pertama kali selepas menyertai liga sejak 2013, tetapi mereka tidak boleh memandang rendah pasukan lawan kerana setiap pasukan mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

“Impian kita hari ini (semalam) adalah untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan ini dan kita sudah pun menang, ini adalah sejarah buat kita meskipun kita hanya dapat kutip satu mata kita akan teruskan perjuangan dan perbaiki yang mana kita perlu untuk saingan di masa depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perlawanan yang diadakan di Padang Hoki Batu Buruk, di sini, semalam.

Dalam perlawanan menentang UniKL itu kedua-dua pasukan pada mulanya terikat 2-2 sehingga penentuan pukulan penalti memberi kemenangan kepada THT 3-1.

Saingan Liga Hoki Malaysia 2019 akan bermula Ahad ini dengan penyertaan tujuh pasukan iaitu THT, UniKL, TNB, TNB Thunderbolts, Maybank, UiTM dan Nurinsafi.

Mengulas lanjut, Vikneswaran berkata pasukannya mengambil serius perlawanan pertama liga Ahad ini bertemu TNB Thunderbolts.

“Pasukan ini (TNB Thunderbolts) terdiri daripada pemain-pemain muda, dan kita tidak memandang rendah keupayaan mereka kerana mereka mempunyai ciri-ciri permainan seperti pasukan senior mereka, TNB...jadi kita akan lihat dan menyusun strategi terbaik bagi mengutip mata untuk perlawanan Ahad ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurulatih UniKL, Arul Selvaraj menerima kekalahan menentang THT dengan hati yang terbuka meskipun agak kecewa kerana anak buahnya gagal memanfaatkan peluang mengutip mata pada suku masa pertama dan keempat perlawanan.

Katanya, faktor cuaca panas juga menyumbang kepada kelemahan pasukannya itu semalam memandangkan terdapat dua pemain importnya yang masih mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan dengan cuaca panas di negara ini.

“Walaupun kecewa tetapi kita masih mempunyai satu mata dan akan terus fokus kepada liga...untuk saingan liga meskipun kita menentang pasukan UiTM, tetapi kita tidak akan memandang rendah kekuatan mereka.

“Saya selalu ingatkan pemain saya, buat persiapan seperti mana menentang pasukan yang kuat, sebab bila kita di padang permainan akan jadi lebih mudah kerana kita telah berlatih dan membuat persiapan yang rapi,” katanya. - Bernama