Keluarga peneroka tinggal sehelai sepinggang

JEMPOL - Sebuah keluarga peneroka di Felda Palong 2 di sini berdepan ujian apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada pagi Sabtu.
Kejadian beberapa hari menjelang tahun baharu itu menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Helmi Syazni Abd Mutalib berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 39 kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan jam 11.44 pagi.
"Turut dikejarkan ke lokasi bagi membantu memadam kebakaran ialah pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan api berjaya dikawal pada jam 12.45 tengah hari.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 30x70 kaki persegi yang dianggarkan terbakar 80 peratus. Difahamkan, kediaman ini diduduki oleh lima individu iaitu pasangan warga emas bersama tiga cucu," katanya pada Sabtu.
Ujarnya, kediaman tersebut sudah pun berusia 15 tahun dan ketika kejadian tiada penghuni yang mengalami sebarang kecederaan.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian kini dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
