Pemangku Presiden Korea Selatan pula dipecat

SEOUL - Pemangku Presiden Korea Selatan berdepan usul pemecatan pada Jumaat ketika negara itu bergelut dengan kemelut politik yang disebabkan perisytiharan undang-undang tentera singkat oleh Presiden Yoon Suk Yeol.
Han Duck-soo menggalas tugas sebagai pemangku Presiden daripada Suk Yeol yang digantung tugas susulan proses pengundian sama yang dilakukan puak pembangkang terhadap beliau.
Parti pembangkang, Parti Demokratik (DP) mengumumkan usul tersebut telah diluluskan berdasarkan 192 undi yang menyokong langkah itu.
Duck-soo disingkirkan selepas beliau didakwa sengaja menangguhkan kelulusan bagi melengkapkan proses pendakwaan terhadap Suk Yeol untuk diheret ke muka pengadilan.
Pada mulanya, proses kiraan undi berdepan kelewatan selepas berdepan bantahan anggota Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinan Suk Yeol setelah Speaker Dewan Perhimpunan Kebangsaan, Woo Won-shik memaklumkan hanya majoriti mudah diperlukan untuk meneruskan pemecatan tersebut.
Keadaan di dewan itu juga agak tegang selepas anggota PPP memboikot proses pengundian usul berkenaan.
Difahamkan, ia adalah pemecatan kedua terhadap ketua negara tersebut dalam tempoh 14 hari.
Peranan sebagai pemangku Presiden kini akan digalas oleh Menteri Kewangan, Choi Sang-mok.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Perlembagaan telah memulakan prosedur pertama untuk menentukan nasib Suk Yeol yang berulang kali mengelak siasatan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

