Produk ubat 'kuat' Energy Candy beracun, dilarang jual

Salah satu produk Energy Candy yang disyaki mengandungi barang terlarang oleh KKM.
Salah satu produk Energy Candy yang disyaki mengandungi barang terlarang oleh KKM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk Energy Candy yang tular di media sosial mengandungi bahan terlarang racun berjadual tadalafil yang disenarai di bawah Akta Makanan 1983.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk berkenaan membabitkan ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sudah menjalankan pemantauan ke atas produk itu.

"Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk).

"Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Sehubungan itu, beliau menegaskan larangan pengimportan telah dikeluarkan serta merta dan KKM memberi amaran kepada mereka yang masih menyimpan stok produk ini supaya menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian.

"Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna juga dinasihatkan tidak membeli produk tersebut. Sekiranya telah membeli, tidak memakannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq untuk sebarang pertanyaan.