X

Kindly register in order to view this article
!

Perlu rasional menilai sesuatu isu

Dr Balachandran (tiga dari kiri) bersama warga emas Tionghua pada majlis makan Tahun Baru Cina.
A
A

KUALA TERENGGANU - Terlalu percaya kepada khabar angin dan sebaran melalui media sosial boleh meruntuhkan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Malah, lebih menakutkan apabila ada antara kita yang menyebarkan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya.

Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, masyarakat perlu lebih rasional dan pandai menilai sesuatu isu.

“Untuk mencari kebenaran, kita perlu lihat sendiri sama ada ia betul atau tidak. Sesuatu yang sensasi memang sedap didengar, tapi apakah implikasinya?” soal beliau.

Menurutnya, beliau sendiri berdepan situasi yang sama apabila masyarakat bukan Islam di Terengganu ditakutkan dengan pelbagai isu antaranya kemungkinan penutupan pawagam, karaoke dan penarikan lesen minuman keras sewaktu Pas mula-mula memerintah negeri itu.

Dr Balachandran (tiga dari kiri) sewaktu menghadiri Forum Harmoni di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.
Dr Balachandran (tiga dari kiri) sewaktu menghadiri Forum Harmoni di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

Sebagai individu yang menjadi perantara antara Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan masyarakat bukan Islam di Terengganu, pandangan dan dakwaan khususnya di media sosial menjadi antara halangan besar kerana membawa persepsi kerajaan tidak akan menjaga kepentingan orang bukan Islam.

Golongan minoriti

Masyarakat bukan Islam di Terengganu hanya sekitar tiga peratus atau 30,000 orang menjadikan mereka golongan minoriti di Terengganu.

Beliau berkata, bantuan tetap diberikan mengikut keperluan malah peruntukan khas berjumlah RM500,000 diberikan bagi menjayakan acara-acara perpaduan.

“Kita terima dan tidak menafikan kepentingan masyarakat Islam yang berjumlah 97 peratus di Terengganu. Namun, dalam masa sama, kerajaan menjaga hak orang bukan Islam.

“Itu memberikan keyakinan kepada mereka. Perarakan sempena Thaipusam, misalnya, diberikan permit, tiada masalah. Begitu juga dengan jamuan sempena Deepavali.

“Bagi masyarakat Tionghua, kita adakan sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri pada setiap tahun,” katanya.

Dr Balachandran yang cukup mesra dan mudah didekati sudah berkecimpung dalam pengajian perbezaan dan persamaan antara agama selama 42 tahun.

Dr Balachandran bersama Ahmad Samsuri ketika hadir pada satu program.
Dr Balachandran bersama Ahmad Samsuri ketika hadir pada satu program.

Beliau juga sering kali mengadakan bengkel perpaduan dalam kepelbagaian dan melibatkan diri dalam forum perpaduan dan harmoni di seluruh negara untuk mewujudkan Budaya Minda Kepelbagaian (The Inter Cultural Mind).

Malah, beliau turut memiliki Sijil Asas Kefahaman Islam daripada Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (Ilham).

“Saya sendiri sudah 15 tahun bersama dengan Pas, begitu selesa dan kita tiada masalah. Sekarang ini, saya ialah Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat.

“Saya boleh berbincang dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan Exco negeri kerana kita sama-sama memahami keperluan dan tanggungjawab masing-masing.

“Tiada apa yang nak ditakutkan kerana saya tahu dan faham bahawa hak orang bukan Islam wajib dijaga oleh Islam, itu sudah pasti,” katanya.

PROFIL

Nama: Dr Balachandran Gopal Krishnan

Jawatan: Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu.

Umur: 59 tahun

Isteri: Senbagavali S Kalimuthu

Anak: 3 orang

Jawatan dalam NGO:

Pengerusi Majlis Agama Hindu Terengganu 2015 -2018

Penasihat Majlis Agama Hindu Terengganu 2018 hingga kini

Penasihat Persatuan Loy Kratong Terengganu 2019

Ahli Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Terengganu 2019

Naib Pengerusi Kongres Rakyat Malaysia

Dr Balachandran bersama isteri, Senbagali.
Dr Balachandran bersama isteri, Senbagali.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus