Biar Dr Mahathir, Anwar selesaikan sendiri

No Image Caption
A
A
A

BEBERAPA hari kebelakangan ini, semua pihak kembali membincangkan tentang isu peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam satu majlis kelmarin berharap tiada lagi desakan terhadap Dr Mahathir agar melepaskan jawatan dengan segera kerana sudah ada kesefahaman dalam isu peralihan kuasa pucuk pimpinan negara oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Kita ada persefahaman dan ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 21 Februari ini. Jadi kita selesai dengan baik. Proses transisi ini untuk kebaikan negara harus secara aman dan teratur,” katanya.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengulangi kenyataan berpegang kepada janji untuk melepaskan jawatan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November depan.

Beliau menegaskan dirinya tidak terbabit dengan gerakan atau dalam kumpulan tertentu yang mahukan beliau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Sementara itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Dr Mahathir untuk membuat sebarang keputusan berhubung isu peralihan kuasa.

Isu peralihan kuasa ini timbul semula apabila Pas tetap bertegas mahu membawa usul percaya kepada Dr Mahathir dalam Dewan Rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak gentar dan takut sekiranya usul itu tidak mendapat sokongan kerana ia salah satu proses demokrasi yang membuka peluang kepada ahli-ahli Parlimen memberi undi kepercayaan.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan pula berkata langkah tersebut bukanlah salah untuk diambil kerana usul percaya di Dewan Rakyat sesuai dibawa ketika Perdana Menteri yang sedang berkhidmat dipertikaikan kedudukannya.

Sementara itu, penganalisis menegaskan langkah mengemukakan undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri dalam Parlimen dibolehkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan panduan amalan negara-negara Komanwel.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, pembentukan ‘kerajaan pintu belakang’ juga tidak mencemari dan mengkhianati mandat atau kepercayaan rakyat.

Menurutnya, undi percaya itu, sebenarnya sudah diaplikasi Britain pada tahun 1993 apabila Perdana Menteri negara tersebut ketika itu mahukan undi percaya dalam Dewan Parlimen bagi meluluskan satu rang undang-undang.

Kenyataan pemimpin utama PH, jelas menunjukkan Bersatu, Amanah, PKR masih berpegang kepada persetujuan asal gabungan iaitu Anwar akan menggantikan Dr Mahathir.

Pas pula dilihat bertindak sebagai pihak yang mahu memastikan Dr Mahathir mendapatkan isyarat jelas bahawa beliau mempunyai ramai penyokong dalam Dewan Rakyat termasuk daripada pembangkang.

Isu ‘kerajaan pintu belakang’ tidak akan timbul sekiranya Dr Mahathir dan Anwar sendiri telah mempunyai persefahaman tentang waktu sesuai untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri.

Walaupun Pas membawa usul percaya terhadap Perdana Menteri, namun persefahaman ini adalah lebih penting kerana PH masih lagi kerajaan dan pastinya Dr Mahathir tidak mahu mengganggu kestabilan ekonomi negara.

Sebarang ketegangan pastinya akan menjejaskan kestabilan dalam negara yang kini masih lagi berdepan wabak Covid-19.

Jika kita sebagai orang bawah atau pengikut parti, kita tidak perlu terlalu memikirkan tentang isu ini sebaliknya biarlah masalah peralihan kuasa ini diselesaikan sendiri oleh pemimpin di atas.

Rakyat masih mempunyai kuasa untuk menentukan pemimpin iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, jadi tunggulah masa itu untuk menentukan Perdana Menteri yang wajar dipilih.

* Riswandi Razak ialah Web Master portal Sinar Harian