Terpaksa tinggal di stor tempat kerja bapa

Paparan Facebook Mohd Fadli tular di laman sosial ekoran perkongsian kisah bapa tunggal bersama dua anaknya berteduh di sebuah stor di sini.
Paparan Facebook Mohd Fadli tular di laman sosial ekoran perkongsian kisah bapa tunggal bersama dua anaknya berteduh di sebuah stor di sini.
A
A
A

GOMBAK - Tidak ramai yang tahu kisah ini namun jasa seorang guru membantu ramai golongan kurang berkemampuan sedikit sebanyak membuka mata masyarakat tentang apa yang berlaku di sekeliling kita.

Coretan terbaharu guru berkenaan, Mohd Fadli Salleh di akaun Facebook miliknya berkisahkan sebuah keluarga yang terpaksa tinggal di stor tempat kerja bapa mereka selepas tidak mampu membayar sewa rumah.

Bapa tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci dikagumi perwatakannya kerana bijak mengurus persekolahan dua anaknya meskipun hidup serba kekurangan.

Mohd Fadli yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak mengetahui kisah keluarga berkenaan yang telah hampir enam bulan tinggal di stor berkenaan selepas anak sulung keluarga itu bercerita dengan gurunya.

Setelah mengetahui nasib keluarga ini, Mohd Fadli bertemu dengan mereka di sebuah kedai makan di sini.

Mohd Fadli berkata, dia mengetahui anak sulung keluarga itu adalah murid contoh di sekolah dan merupakan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

"Bagus betul si ayah ini. Jaga anaknya dengan baik. Bersih dan kemas je anak-anak bila jumpa. Padahal duduk kat stor kot.

"Lebih saya kagum, dia akan pastikan anaknya ke sekolah setiap hari tanpa gagal kecuali anaknya sakit. Patutlah anaknya ini dinobatkan sebagai murid contoh kat sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Anak sulungnya belajar pandai. Harapan sekolah. Guru-guru semua sayang. Baru hari ini anak polos ini membuka cerita yang dia tinggal di stor bersama ayah dan adiknya setelah tuan rumah sewa suruh keluar kerana rumah hendak dijual," tulisnya.

Mohd Fadli yang memiliki pengikut di Facebook seramai 320,605 orang berkata, keluarga ini tidak pernah meminta namun atas dasar perikemanusiaan dan mahu anak-anak bapa tunggal ini berjaya mengubah kehidupan keluarganya, dia membuat keputusan untuk memberi sokongan kepada mereka.

"Semua yuran anak-anaknya, semua persiapan persekolahan, semua buku-buku, semua kos tuisyen dan seumpamanya akan dibantu penuh.

"Saya minta mereka berpindah ke rumah sewa. Untuk tinggal di bilik sewa tidak sesuai memandangkan anak sulungnya perempuan yang makin meningkat dewasa.

"Sekali lagi, isu deposit menjadi masalah utama. Saya suruh dia cari sahaja, soal deposit kami (Dana Kita) akan bantu sebahagian," katanya.

Perkongsian kisah itu meraih lebih 8,900 tanda suka meruntun jiwa netizen selain memberi pengajaran cukup bermakna setelah membaca kehidupan bapa tunggal yang tabah membesarkan anak-anaknya.

Qaseh Baru, "Alhamdulillah...masih ada ayah yang mampu menjaga amanah dengan sempurna walaupun susah dan perit tidak pernah mensia-siakan amanah yang ALLAH berikan...alangkah beruntungnya. Biar miskin di dunia asal tidak papa di akhirat."

Ujar Norhakimah Hanafi pula, "Alhamdulillah. Ayah yang bertanggungjawab, selagi berusaha, pasti ALLAH buka jalan. Mari kita pakat bantu, support Cikgu MFS dengan #Danakita."