Anak orang asli tidak dikerah bekerja di tapak pelupusan sampah: MB

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menafikan dakwaan kanak-kanak orang asli dikerah bekerja di tapak pelupusan sampah di Bukit Ibam, Rompin seperti video dan gambar yang ditularkan di sebuah portal berita beberapa hari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil siasatan yang dilakukan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) mendapati anak-anak orang asli itu mengikut ibu bapa mereka mencari tin, kertas dan plastik terpakai untuk dijual dan dikitar semula.

Menurutnya, tidak timbul sebarang isu bahawa anak-anak itu dikerah untuk bekerja atau menjadikan tapak pelupusan sampah sebagai taman permainan mereka.

"Kita mengambil maklum mengenai video dan beberapa gambar tular memaparkan sekumpulan orang asli yang dikatakan terpaksa hidup di dalam kawasan tapak pelupusan sampah berdekatan Bukit Ibam itu.

"Selepas lawatan ternyata kenyataan dan tuduhan yang dilemparkan oleh itu tidak benar sama sekali malah kumpulan orang asli itu sendiri mengakui terkejut dengan berita palsu itu," katanya melalui kenyataan media di laman Facebook rasminya hari ini.

Dua hari lalu, sebuah portal mendedahkan 60 keluarga orang asli termasuk kanak-kanak yang berusia seawal dua tahun bekerja di tapak pelupusan di Bukit Ibam, dekat Muadzam Shah.

Beliau berkata, kumpulan orang asli daripada suku Jakun itu mengambil inisiatif mengumpul barangan yang boleh dikitar semula bagi menambah pendapatan keluarga mereka.

Jelasnya, kebanyakan mereka mempunyai pekerjaan tetap dan aktiviti ini dilakukan secara sampingan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri prihatin dengan kebajikan orang asli di negeri ini. Kita amat berharap orang ramai tidak menularkan berita tidak benar sebaliknya memeriksa terlebih dahulu kesahihan informasi tersebut sebelum menularkannya di media sosial," katanya.