Kami sudah tewaskan Chelsea dua kali musim ini: Solskjaer

Ole Gunnar Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menuntut pemainnya mencipta kemenangan ke atas Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, awal pagi Isnin ini.

Menurutnya, rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan lebih memihak The Red Devils dan beliau mahu pemainnya memanfaatkan kelebihan untuk menumbangkan skuad kendalian Frank Lampard itu.

"Kemenangan akan memberikan kami tiga mata untuk cuba memperbaiki kedudukan dalam EPL dan itu sasaran kami dalam perlawanan ini.

“Kami sudah bermain dua kali dengan mereka musim ini dan kedua-duanya kami menang. Tetapi harus diakui Chelsea merupakan sebuah pasukan yang kuat apatah lagi mereka bermain di gelanggag sendiri.

“Kami tetap perlu mengharunginya dan cuba menang untuk mengembalikan keyakinan dalam pasukan," katanya.

Sebelum ini, United telah menewaskan Chelsea dalam saingan EPL dan Piala Liga Inggeris pada Ogos dan Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Solskjaer berharap tempoh rehat dua minggu yang dilalui pemainnya akan memberikan momentum positif kepada pemainnya dalam mengharungi baki perlawanan liga.

“Sudah tentu tempoh rehat dua minggu memberikan kesegaran kepada semua orang dalam pasukan dan ia juga petanda baik kepada liga.

Artikel Berkaitan:

"Apabila sudah diberikan rehat ini, saya menjangkakan persembahan lebih baik dan aksi lebih cemerlang daripada kesemua pemain," katanya.

United ketika ini berada di kedudukan kesembilan liga dengan 35 mata daripada 25 perlawanan dan menjadi antara rekod terburuk pernah dicatat pasukan gergasi EPL itu dalam sejarah liga.