Banjir: 18 Program Jualan Rahmah Madani diadakan di Terengganu
KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 18 sesi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) diadakan di Terengganu bagi membantu penduduk terjejas banjir mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan pengurangan 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, setakat ini sebanyak 10 program telah diadakan di beberapa lokasi yang terjejas dengan banjir.
Beliau menambah baki lapan sesi PJRM akan diadakan sebelum 31 Disember akan datang.
"Jadual penganjuran dan lokasi PJRM ini boleh dilihat di laman rasmi Facebook KPDN Terengganu untuk memudahlan orang ramai merancang pembelian mereka.
"Pelbagai barangan keperluan harian ditawarkan pada harga lebih murah antara 10 hingga 30 peratus dalam setiap sesi PJRM untuk meringankan beban kewangan orang ramai terutama mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di PJRM di Taman Desa Tanjung Damai di sini pada Sabtu.
Antara barangan yang diserbu orang ramai dalam program jualan pada Sabtu antaramya ayam, daging, beras dan telur.
Sementara itu, Saharuddin berkata, KPDN Terengganu telah melantik 159 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 74 pemborong terpilih daerah (DDW) di seluruh negeri pada musim tengkujuh kali ini.
"Pelantikan ini membenarkan mereka untuk menyimpan barang kawalan berjadual sehingga 30 peratus dari had simpanan dalam lesen bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas berlaku sewaktu banjir melanda," jelasnya.
Dalam pada itu, Saharuddin turut mengingatkan bahawa sebarang pembelian barang kawalan berjadual di kawasan bencana oleh Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau individu bagi tujuan edaran bantuan bencana adalah dilarang.
Beliau berkata, pembelian minyak masak paket bersubsidi bagi tujuan agihan bantuan adalah tidak dibenarkan dan disarankan penggunaan minyak masak kemasan botol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!