Dipenjara 15 bulan curi dua rim tayar kereta

Muhammad dipenjara 15 bulan selepas mengaku salah mencuri dua rim tayar kereta jenis Honda City, November lalu.
Muhammad dipenjara 15 bulan selepas mengaku salah mencuri dua rim tayar kereta jenis Honda City, November lalu.
A
A
A

LUMUT - Padah mencuri rim tayar, seorang lelaki dihukum penjara setahun tiga bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Jumaat.

Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Badarudin, 39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh ditangkap iaitu 10 Disember lalu dan tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelas denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri dua rim bersama tayar jenama Toyo kereta jenis Honda City milik seorang lelaki berusia 33 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di tempat parkir berbayar Marina A1-E14 Lumut dalam daerah Manjung sekitar jam 3 petang pada 22 November 2024.

Dia dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Ray, Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Sive Ganesh.

Sinar Harian melaporkan sebuah kereta hilang dua tayar dipercayai dicuri ketika diletakkan di kawasan parkir kenderaan berbayar berhampiran jeti di Lumut.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu hanya disedari pemilik kenderaan selepas dimaklumkan oleh rakan melalui panggilan telefon kira-kira jam 3 petang pada 23 November lalu sebelum tular di media sosial.

Siasatan polis mendapati, semasa kejadian pemilik kereta berada di Pulau Pangkor dan telah meletakkan kenderaannya di kawasan itu sejak 14 November lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!