AKPK raikan rakan kolaborasi

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, menyampaikan ucaptama sempena Majlis AKPK Collaborators Awards 2023/2024 sebagai penghargaan atas usaha rakan kolaborasi dalam memperkasakan kesejahteraan kewangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, menyampaikan ucaptama sempena Majlis AKPK Collaborators Awards 2023/2024 sebagai penghargaan atas usaha rakan kolaborasi dalam memperkasakan kesejahteraan kewangan masyarakat.
A
A
A
SHAH ALAM - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) meraikan rakan kolaborasi dalam majlis Anugerah Rakan Kolaborasi AKPK 2023/2024, sebagai penghargaan atas usaha sama memperkasakan literasi kewangan melalui tiga perkhidmatan teras AKPK iaitu pendidikan kewangan, nasihat kewangan, dan pengurusan kredit.

Dengan tema ‘Growing with Purpose’, majlis ini memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh kesemua pihak yang terlibat dan rakan strategik dalam memastikan kesejahteraan kewangan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi AKPK,Anuar Mohd Hussan, sebagai penghargaan kepada rakan kolaborasi yang telah memberikan sumbangan signifikan terhadap pelaksanaan inisiatif berimpak besar AKPK.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, berkata, kerjasama yang penuh makna ini telah menjadi pemangkin kejayaan AKPK.

“Dengan bekerja bersama, kami bukan sahaja dapat membantu individu mengurus kredit mereka, tetapi juga membekalkan mereka dengan kemahiran untuk merealisasikan impian dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Kesan daripada usaha murni ini telah memperkukuhkan fabrik sosial negara, memastikan pemerkasaan dan kesejahteraan kewangan terus terpelihara untuk generasi akan datang,"katanya di sini, hari ini.

Bagi anugerah utama, Bank Simpanan Nasional menerima Anugerah Usaha Sama Berimpak Penting untuk dedikasi mereka yang tidak berbelah bagi terhadap usaha memperhebat inisiatif literasi kewangan di Malaysia.

Anugerah Rakan Komuniti Cemerlang yang buat pertama kali diperkenalkan, mengiktiraf Kampung Kuala Wau di Maran, Pahang, untuk penyertaan aktif dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberikan impak kepada usaha pemerkasaan dan pembangunan literasi kewangan di kalangan komuniti.

Pihak pengurusan tertinggi AKPK dan rakan kolaborasi di AKPK Collaborators Awards 2023/2024.
Pihak pengurusan tertinggi AKPK dan rakan kolaborasi di AKPK Collaborators Awards 2023/2024.

Artikel Berkaitan:


Bagi kategori pengurusan kredit dan nasihat kewangan, Anugerah Rakan Kolaborasi Bersinergi dimenangi oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor dan TEKUN Nasional. Anugerah Rakan Usaha Sama Unggul dalam Penyelesaian Kredit dan Sokongan PKS pula dimenangi oleh RHB Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad manakala Anugerah Pencapaian Kolaboratif Program Pengurusan Kredit menjadi milik CIMB Bank Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Public Bank Berhad.

Bagi kategori pendidikan kewangan, Anugerah Kecemerlangan Sokongan Untuk Usahawan Mikro dimenangi oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, Yayasan Hijrah dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.

Bagi kategori Usaha Sama Unggul, pemenang Anugerah Jangkauan Kerajaan & Komuniti ialah Persatuan Takaful Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Jabatan Premier Sarawak. FGV Holdings Berhad, HSBC Bank Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad pula memenangi Anugerah Jangkauan Pejabat Korporat & Komuniti, sementara Anugerah Institusi Pengajian Tinggi menjadi milik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Universiti Teknologi MARA, dan Universiti Malaysia Terengganu.

Bagi menghargai peranan penting kelab AKPK di institusi pengajian tinggi, Anugerah Kelab AKPK Dalam Literasi Kewangan dianugerahkan kepada Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, dan Universiti UCSI.

Bagi kategori pembangunan penyelidikan, Persatuan Ekonomi Malaysia memenangi Anugerah Kecemerlangan Intelektual, Asia School of Business memenangi Anugerah Kecemerlangan Kolaborasi Antarabangsa, sementara Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia memenangi Anugerah Kecermelangan Penglibatan Dasar.

Bagi kategori jenama dan komunikasi, Anugerah Kecemerlangan Media Visual & Digital dimenangi oleh Astro Awani Network Sdn. Bhd., Anugerah Kecemerlangan Media Suara dan Digital dimenangi oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sementara Anugerah Kecemerlangan Media Cetak menjadi milik Utusan Malaysia. Satu lagi anugerah untuk sokongan jenama, Anugerah Amplifier Jenama Unggul, dimenangi oleh Kementerian Komunikasi.

Majlis anugerah itu merakamkan detik-detik bangga AKPK bersama rakan-rakan kolaborasi dan juga mesej utama AKPK kepada semua rakan kolaborasi tentang komitmen bersama untuk memperkasakan rakyat Malaysia pada setiap peringkat yang penting dalam kehidupan mereka.

Dengan majlis anugerah ini yang bertemakan siri penerbitan baharu AKPK, ‘GROW’, buku-buku penerbitan ini turut dipamerkan sepanjang acara berlangsung. Buku siri GROW menyediakan panduan kewangan yang komprehensif dan mudah diikuti untuk memenuhi keperluan kewangan yang berbeza ketika umur belia, mula bekerja, mula berkeluarga sehinggalah umur persaraan.

Azaddin berkata, Majlis Anugerah Rakan Kolaborasi AKPK menjadi majlis yang bermakna untuk mengakhiri tahun ini kerana ia juga memberikan kesempatan untuk memperbaharui dan mengukuhkan komitmen bersama untuk memberi impak pada tahun 2025.

"Marilah kita teruskan perjalanan ini dengan matlamat yang seiring, mengukuhkan komitmen kita terhadap satu sama lain. Bersama-sama kita lebih berdaya maju lebih inovatif dan lebih memberi impak,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!