Pakaian jenama tiruan dijual di ruang legar pusat beli-belah dirampas

Antara pakaian jenama disyaki tiruan yang dirampas.
Antara pakaian jenama disyaki tiruan yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sering berpindah dan menjadikan ruang legar pusat beli-belah sebagai tempat menjual pakaian tiruan yang menggunakan jenama terkenal terbongkar dalam serbuan di sini pada Isnin.

Serbuan pada jam 2.15 petang itu dijalankan sepasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pihaknya merampas 429 pakaian jenama disyaki tiruan bernilai RM17,000.

"Sebelum ini, mereka berniaga di sebelah selatan sebelum berpindah ke ibu kota serta menyewa ruang legar pusat beli-belah berkenaan sejak 22 November sehingga 1 Januari ini.

"Jualan berkenaan sempena perayaan Krismas dan sambutan tahun baru, kos sewaan pula mencecah puluhan ribu ringgit" katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Nurul Syarina berkata, lelaki tempatan yang ditahan itu merupakan pemilik perniagaan manakala wanita warga asing itu adalah pekerja.

"Mereka ditahan untuk siasatan lanjut, hasil maklumat yang diperolehi, stok baju dan seluar itu diperoleh dari sebuah pusat pemborong yang beroperasi di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas lanjut Nurul Syarina berkata, pihaknya telah video tular berkaitan penjualan pakaian jenama yang disyaki tiruan secara terbuka di pusat beli-belah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur telah menghantar pasukan risikan bagi mendapatkan maklumat awal dan pengesahan berhubung video tular berkenaan.

Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur sedang memeriksa pakaian jenama disyaki tiruan yang dijual di ruang legar sebuah pusat beli-belah, di sini, pada Isnin.
Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur sedang memeriksa pakaian jenama disyaki tiruan yang dijual di ruang legar sebuah pusat beli-belah, di sini, pada Isnin.

"Hasil risikan yang dijalankan KPDN Kuala Lumpur dapat mengenal pasti peniaga serta jenama barangan yang mempunyai cap dagangan yang berdaftar.

"Kita telah menghubungi wakil pemilik cap dagangan bagi mendapatkan kerjasama tuntutan cap dagangan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"KPDN Kuala Lumpur akan menyiasat kesemua pihak yang terlibat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Nurul Syarina berkata, statistik kes harta intelek oleh KPDN Kuala Lumpur pada tahun ini adalah sebanyak 111 kes dilaporkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan berjumlah RM2.7 juta.

"Ia melibatkan sitaan barangan sebanyak 82,000 unit, manakala jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 5.0 sejak awal tahun sehingga kini adalah 14 individu termasuk empat warga asing," katanya.

KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut menasihatkan para pengguna agar tidak menyokong pembelian serta penjualan barang tiruan.

"Kami memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada.

"Peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman berat sepertimana ditetapkan oleh undang-undang," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!