‘Kerajaan pintu belakang’ tidak khianati mandat rakyat

Dari kiri: Ahmad Fahmi, Syed Agil, Shamrahayu, Wan Ahmad dan Musa pada sesi Wacana Sinar Harian di Shah Alam. -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Dari kiri: Ahmad Fahmi, Syed Agil, Shamrahayu, Wan Ahmad dan Musa pada sesi Wacana Sinar Harian di Shah Alam. -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah mengemukakan undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri dalam Parlimen dan undi tidak percaya kepimpinan beliau di luar Parlimen adalah dibolehkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan panduan amalan negara-negara Komanwel.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, pembentukan kerajaan baharu yang istilah politik dipanggil ‘kerajaan pintu belakang’ juga tidak mencemari dan mengkhianati mandat atau kepercayaan rakyat.

Menurutnya, undi percaya kepimpinan Perdana Menteri yang merupakan istilah baharu didengari di negara ini, sebenarnya sudah diaplikasi kerajaan Britain pada tahun 1993 apabila Perdana Menteri negara tersebut ketika itu mahukan undi percaya dalam Dewan Parlimen bagi meluluskan satu rang undang-undang.

“Langkah mendapatkan undi percaya dalam kalangan ahli Parlimen dibuat susulan rang undang-undang yang ingin diperkenalkan kerajaan ketika itu tidak diluluskan dalam Parlimen.

“Undi percaya memang ada dalam negara Komanwel. Bagi undi tidak percaya di luar Parlimen pula, ia juga boleh dilaksanakan bersandarkan amalan negara luar yang dijadikan panduan.

“Mengenai penubuhan kerajaan pakatan baharu pula, ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan sudah pasti tidak mencemari mandat dan kepercayaan rakyat negara ini sekiranya dilaksanakan,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri 157 bertajuk Langkah Ke Hadapan Melalui Kerajaan Perpaduan Nasional di Shah Alam kelmarin.

Wacana itu menampilkan Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai moderator dan tiga panelis lain iaitu Penganalisis Politik daripada Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Al Sagoff; bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga Naib Presiden Persatuan Gerakan Qiam (Qiam), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Mengulas mengenai usaha membentuk kerajaan perpaduan nasional, beliau berkata, kejayaan sesebuah negara mencapai perpaduan secara total adalah bersandarkan keupayaan rakyat negara itu berkongsi hala tuju kefahaman sejarah dan masa hadapan negara.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menyifatkan Malaysia masih tidak ada keupayaan tersebut dengan hala tuju kefahaman sejarah dan masa hadapan negara yang diselaraskan belum wujud.

Didik semangat cintakan negara dari bangku sekolah

Satu mekanisme pendidikan kesedaran terhadap kepentingan pemahaman Perlembagaan Persekutuan perlu diwujudkan bermula zaman kanak-kanak lagi bagi mengukuhkan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat negara ini.

Dr Syed Agil berkata, melalui inisiatif itu, kanak-kanak yang dibentuk jati diri dan semangat cintakan negara sejak kecil akan dididik menjadi seorang warganegara bertanggungjawab.“Dari segi aspek perpaduan sendiri, mekanisme pendidikan harus diperkukuhkan sejak dari bangku sekolah tanpa menggunakan asas perbezaan kaum.

“Landskap politik negara hendaklah dibentuk berasaskan secara semula jadi bukan berasaskan identiti.

Shamrahayu -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Shamrahayu -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI

“Sekarang ini, masih ada pemimpin parti politik yang bercakap bagi pihak kaumnya dan bukan negara. Pemimpin tidak boleh cakap bagi pihak kaumnya, sebaliknya seluruh rakyat Malaysia kerana ciri pemimpin pendapat itu adalah mempengaruhi agenda dan pemikiran rakyat dalam merealisasikan agenda kerajaan perpaduan nasional,” katanya di sini kelmarin.

Mengenai kerajaan ‘pintu belakang’, beliau berkata, cadangan itu perlu mendapat mandat rakyat dengan kualiti kematangan politik negara masih belum tercapai ke arah itu.“Di Malaysia, kena banyak usaha ke arah mencapai kemantapan parti. Jika tidak, bukan asas kematangan fikiran, sebaliknya inisiatif itu (kerajaan pintu belakang) akan menjadi kepentingan pihak tertentu,” katanya.

‘Tindakan Pas untuk kebaikan negara’

Sementara itu, Wan Ahmad memuji tindakan Pas untuk mengemukakan Usul Undi Percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Dewan Rakyat Mac ini.

Beliau menyifatkan tindakan Pas adalah untuk kebaikan negara dalam menentukan sama ada Perdana Menteri masih lagi mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen atau sebaliknya. “Saya menyokong Usul Undi Percaya Pas kerana ia untuk kebaikan negara bagi menentukan sokongan ahli Parlimen kepada Perdana Menteri.

“Namun, perkara yang perlu diambil kira adakah speaker Dewan Rakyat menerima atau menolak cadang Usul Undi Percaya yang dikemukakan Pas,” katanya.

Menurutnya, jika Speaker Dewan Rakyat menolak Usul Undi Percaya Pas maka itu bermakna dia bersifat partisan.

Sementara itu, menjelaskan persoalan adakah boleh terbentuk ‘kerajaan pintu belakang’, beliau berkata, istilah pintu belakang hanyalah istilah politik.“Sama seperti sewaktu saya memegang jawatan Timbalan Pengerusi SPR, macam-macam orang cakap. Pengundi hantulah. Ia hanyalah untuk menimbulkan persepsi semata-mata,” katanya.

Golongan politik perlu amalkan konsep perpaduan

Perpaduan bukan hanya untuk rakyat tetapi juga pemimpin terutamanya golongan ahli politik yang seharusnya mengamalkan sikap perpaduan dalam kalangan mereka.

Musa berkata, perpaduan sesama pemimpin menjadi pengukur kemampuan mereka dalam memerintah negara.

“Kalau pemimpin tidak ada perpaduan, macam mana mereka nak memimpin rakyat?

“Saya berasakan bukan rakyat yang bermasalah sebaliknya yang ada masalah ialah orang politik. Mereka ini yang macam-macam sekali gus membuatkan rakyat gusar dan rakyat akan mula mempersoalkan itu dan ini,” katanya.