Liverpool menang, tapi Slot tak puas hati

Arne Slot
Arne Slot
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menuntut persembahan lebih baik daripada pemainnya selepas sekadar meraih kemenangan 1-0 ke atas Girona dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu.

Liverpool tidak beraksi pada tahap terbaik mereka di Estadi Montilivi, tetapi berjaya memperoleh kemenangan hasil sepakan penalti Mohamed Salah pada separuh masa kedua selepas Donny van de Beek mengasari Luis Díaz dalam kotak penalti.

Kemenangan itu bermakna Liverpool meneruskan rekod sempurna mereka di Eropah selepas memenangi kesemua enam perlawanan Liga Juara-Juara musim ini, tetapi Slot menegaskan prestasi mereka perlu berada pada tahap terbaik jika bercita-cita untuk menjuarai pertandingan itu.

"Jika anda bertanya kepada saya tentang semua enam perlawanan, saya sangat gembira dengan semua keputusan dan persembahan dalam lima perlawanan.

"Saya tidak berpuas hati dengan prestasi hari ini. Kami berhak mendapat lebih daripada tiga mata iaitu permainan yang lebih bagus. Kami mempunyai penjaga gol yang luar biasa hari ini.

"Namun, apabila kami kehilangan bola, kami tidak cukup agresif. Hampir tiada kawalan pada keseluruhan permainan. Mungkin separuh masa kedua lebih baik," katanya.

Satu perkara positif untuk Liverpool ialah kembalinya Alisson dalam kesebelasan utama selepas penjaga gol itu telah diketepikan sejak 5 Oktober lalu akibat kecederaan.

Penjaga gol Brazil itu telah menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Girona untuk mengekalkan rekod bersih kelima Liverpool di Eropah musim ini, dan Slot pantas menggelarnya sebagai penjaga gol terbaik di dunia selepas perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Dia menunjukkan hari ini apa yang saya katakan berkali-kali bahawa dia adalah penjaga gol pertama kami. Itu tiada kena mengena dengan Caoimhin (Kelleher) yang turut beraksi baik sepanjang tempoj Alisson cedera.

"Tetapi, (Alisson) menunjukkan hari ini dia salah seorang yang terbaik. Pada pendapat saya, penjaga gol terbaik dalam dunia. Semoga dia dapat mengekalkan persembahan ini dan kekal cergas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!