MB Johor jawab tular video dihalang naik kereta

Keratan video yang menunjukkan Osman sedang membuka pintu belakang Proton Saga dipandu Sultan Ibrahim, kelmarin.
Keratan video yang menunjukkan Osman sedang membuka pintu belakang Proton Saga dipandu Sultan Ibrahim, kelmarin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Susulan tular video ‘seakan dilarang’ menaiki Proton Saga dipandu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di laman sosial, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian tampil memberi penjelasan.

Dalam akaun Twitter miliknya, Osman berkata, beliau sebenarnya memberi ucapan hati-hati memandu kepada Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, katanya, terdapat pihak yang cemburu telah mereka cerita kononnya beliau dihalang daripada menaiki kereta tersebut.

“Saya sempat berseloroh kepada DYMM Tuanku Sultan Ibrahim dan Tun Mahathir hati-hati memandu.

“Itu pun ada pihak yang cemburu dan siap mereka cerita,” katanya sebagaimana dipetik berkata menerusi akaun Twitter miliknya, semalam.

Terdahulu, tular satu video berdurasi kira-kira 30 saat di mana Osman membuka pintu tempat duduk belakang Proton Saga dipandu Sultan Ibrahim.

Video tersebut telah mengundang kontroversi apabila ada pihak mendakwa Osman dihalang daripada menaiki kereta berkenaan selepas beliau menutup kembali pintu belakang yang dibuka.

Kejadian berlaku selepas tamat pertemuan antara Sultan Ibrahim dan Dr Mahathir yang berlangsung kira-kira sejam di Istana Bukit Serene, di sini, kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Sultan Johor yang dilihat memandu sendiri kenderaan nasional keluaran tahun 1985 itu berkenan untuk menghantar sendiri Dr Mahathir pulang ke Senai Business Aviation Terminal.

Bagaimanapun, beberapa halaman Facebook menjadikan video tersebut sebagai idea memperlekeh Menteri Besar dengan mendakwa beliau dihalang menaiki Proton Saga itu.