Hakim syarie perlu tegas buat keputusan: Mohd Na'im junjung titah Sultan Selangor

Mohd Na'im ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Zakat Korporat 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.
Mohd Na'im ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Zakat Korporat 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan semua hakim syarie sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan.

Beliau berkata, perkara itu sepatutnya dilakukan semua hakim syarie bukan hanya di Selangor tetapi seluruh negara yang bertanggungjawab menegakkan kebenaran.

Mohd Na'im berkata, beliau sering mengingatkan perkara sama ketika menyandang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan hakim syarie.

"Saya pun lama dalam kehakiman syariah, memang saya kerap ingatkan hakim-hakim syarie ini supaya dapat buat keputusan berani tanpa sebarang pengaruh.

"Sebab itu saya sokong dan menjunjung titah tuanku. Insya-ALLAH dengan kapasiti sebagai menteri, saya akan memastikan terus memberi peringatan kepada hakim syarie untuk buat demikian," katanya selepas hadir pada Majlis Zakat Korporat 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.

Sultan Selangor pada Isnin menitahkan semua hakim syarie supaya sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan menurut Islam ketika menjalankan kuasa kehakiman walaupun dipertikai segelintir pihak.

Baginda bertitah, cubaan sesetengah pihak mempertikai bidang kuasa dan keputusan Mahkamah Syariah dengan membawa persoalan undang-undang untuk tafsiran Mahkamah Sivil, tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa takut atau bimbang bagi memberikan penghakiman yang adil.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana, Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Syariah Selangor, Anggota Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Pendaftar Kanan serta Pendaftar Wali Raja di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Mohd Na'im menambah, selain membuat keputusan adil, hakim syarie juga perlu menyegerakan membuat penghakiman.

Artikel Berkaitan:

"Sultan Selangor sangat prihatin dengan kes-kes yang lambat diselesaikan di Mahkamah Syariah Selangor.

"Semasa saya Ketua Hakim Selangor, aspek ini yang kerap diingatkan baginda meminta peringatan diberikan kepada para hakim syarie untuk membuat keputusan yang adil dan segera.

"Jangan tunggu sampai bertahun-tahun untuk selesaikan sesuatu kes," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!