Allianz Malaysia tubuh pusat tadbir urus, sokong usaha tangani rasuah
![Sean Wang (kanan) ketika majlis pelancaran Pusat tadbir urus Allianz di Perpustakaan Memorial Za’ba di UM.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/10/2922835.jpg)
KUALA LUMPUR - Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) menubuhkan pusat tadbir urus Allianz bagi menyokong usaha menangani masalah rasuah di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, pihaknya juga menjadi rakan gabungan Rasuah Busters pada 2021 yang memperjuangkan tindakan kolektif menentang jenayah itu.
Menurutnya, Allianz Malaysia bukan sahaja mengutamakan keuntungan semata-mata tetapi memainkan peranan penting untuk masyarakat Malaysia.
"Hari ini kami melancarkan pusat tadbir urus Allianz bertepatan dengan Hari Anti Rasuah Antarabangsa pada 9 Disember. Menerusi pelancaran itu Allianz Malaysia mengambil langkah berani dengan menginstitusikan usaha tersebut.
"Ia merupakan inisiatif strategik untuk menjalankan penyelidikan mengenai tadbir urus dan bidang berkaitan.
"Penyelidikan memerlukan ketabahan, keberanian,dan keupayaan. Dalam masa sama perlu bersedia mengharungi cabaran yang kompleks," katanya pada majlis pelancaran Allianz Centre for Governance di Perpustakaan Memorial Za’ba di UM.
Tambah beliau, penyelesaian yang dibuat menerusi penyelidikan, berteraskan data dan analisis pakar berkemungkinan membawa kepada langkah antirasuah yang berkesan berbanding dasar reaktif berdasarkan tekanan politik atau sentimen popular.
Jelasnya, Allianz Malaysia sentiasa mengutamakan inisiatif yang mewujudkan impak positif kepada masyarakat dan berhasrat memimpin melalui teladan serta melakukan perkara yang betul.
"Saya ingin beri jaminan bahawa Allianz Malaysia sentiasa komited menyokong pusat ini dan memastikan kejayaannya.
"Ini kerana misi kami jelas iaitu mencetuskan perubahan yang bermakna dan memupuk persekitaran yang mana integriti berkembang maju dan rasuah tidak bertapak.
"Walaupun ini adalah perjalanan jangka panjang, ia adalah satu sebab yang patut diperjuangkan. Kami akan terus melabur dalam inisiatif sejajar dengan visi ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!