Taylor’s College, SK RPS Banun lancarkan Hab Pembelajaran sokong komuniti Orang Asli

Warga Taylor’s College dan Sekolah Kebangsaan RPS Banun meraikan pelancaran Hab Pembelajaran dalam usaha menyatukan komuniti Orang Asli di Gerik untuk memperkasa pendidikan dan kerjasama.
Warga Taylor’s College dan Sekolah Kebangsaan RPS Banun meraikan pelancaran Hab Pembelajaran dalam usaha menyatukan komuniti Orang Asli di Gerik untuk memperkasa pendidikan dan kerjasama.
A
A
A

SUBANG JAYA – Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan akses pendidikan bagi komuniti yang memerlukan, Taylor’s College telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun untuk melancarkan Hab Pembelajaran baharu bagi menyokong komuniti Orang Asli di Gerik, Perak.

Pembangunan hab ini berjaya direalisasikan dengan kerjasama Shawn Stanly Anthony Dass, seorang bekas pendidik di SK RPS Banun dan pemenang RISE Educator Award 2024.

Ia menyediakan ruang pelbagai fungsi untuk pelajar, ibu bapa dan ahli komuniti bagi menjalankan aktiviti kolaboratif serta pendidikan.

Hab Pembelajaran yang baru dilancarkan di Sekolah Kebangsaan RPS Banun menyediakan ruang yang ceria dan inklusif untuk komuniti Orang Asli di Gerik belajar, menimba ilmu dan menyertai aktiviti-aktiviti berstruktur.
Hab Pembelajaran yang baru dilancarkan di Sekolah Kebangsaan RPS Banun menyediakan ruang yang ceria dan inklusif untuk komuniti Orang Asli di Gerik belajar, menimba ilmu dan menyertai aktiviti-aktiviti berstruktur.



Timbalan Pengarah, Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Fadzliaton Zainudin, yang hadir pada majlis pelancaran itu turut menyambut baik kerjasama berkenaan.

Menurut beliau, KPM menghargai kerjasama antara sektor swasta dengan kementerian dalam memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua pelajar.

“Tambahan pula, inisiatif ini selaras dengan konsep ‘Sekolah Milik Masyarakat’ yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan, berkata, pendidikan adalah asas kejayaan seumur hidup dan inisiatif seperti Hab Pembelajaran ini membawa perubahan bermakna.

Artikel Berkaitan:

“Pelancaran Hab Pembelajaran baharu di SK RPS Banun ini bukan sahaja untuk pelajar dan sekolah tetapi juga kepada landskap pendidikan Malaysia.

“RISE Educator Award memainkan peranan penting dalam mengiktiraf dan memperkasa usaha pendidik seperti Cikgu Shawn, yang menginspirasikan transformasi dalam komuniti mereka.

“Projek seperti ini membuka jalan kepada masyarakat yang lebih berdaya saing dan makmur, mencerminkan komitmen kami terhadap pendidikan inklusif dan transformasi yang bermakna,” katanya.

Dari kiri: Shawn menunjukkan reka bentuk inovatif Hab Pembelajaran kepada Fadzliaton dan Josephine.
Dari kiri: Shawn menunjukkan reka bentuk inovatif Hab Pembelajaran kepada Fadzliaton dan Josephine.



Manakala, Ketua Latihan dan Kepimpinan di Teach For Malaysia, Sarah Lasung yang turut menyertai projek komuniti ini menjelaskan, kolaborasi berkenaan merupakan satu penghormatan bagi organisasi itu untuk bekerjasama dengan Taylor’s College sebagai rakan kongsi.

Ujar beliau, kerjasama berkenaan bertujuan mengiktiraf dan meraikan pendidik yang menjalankan tanggungjawab di luar bidang tugasan mereka demi memberi inspirasi dan memperkasa komuniti.

“Melihat dedikasi Cikgu Shawn terhadap pelajarnya adalah peringatan mesra bahawa pendidik yang berdedikasi dalam komuniti kita mampu melakukan perubahan.

“Kami berharap kisah beliau dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menyokong dan memperkasa generasi pelajar yang akan datang di seluruh Malaysia,” katanya.

Dengan dana sebanyak RM20,000 yang disumbangkan oleh Taylor’s College kepada Shawn sebagai pemenang RISE Educator Award 2024, Hab Pembelajaran ini direalisasikan melalui dedikasi luar biasa guru-guru dan pelajar-pelajar, yang berusaha gigih membinanya dari awal.
Dengan dana sebanyak RM20,000 yang disumbangkan oleh Taylor’s College kepada Shawn sebagai pemenang RISE Educator Award 2024, Hab Pembelajaran ini direalisasikan melalui dedikasi luar biasa guru-guru dan pelajar-pelajar, yang berusaha gigih membinanya dari awal.



Dalam perkembangan sama, Shawn menjelaskan, idea untuk hab ini tercetus daripada empat pelajar yang melihat potensi untuk mengubah kawasan sekolah yang kurang digunakan menjadi ruang yang bermanfaat untuk komuniti.

Kata beliau, ia menyediakan ruang khas untuk pelajar SK RPS Banun dan perkampungan Orang Asli terdekat untuk belajar, menimba ilmu dan menyertai aktiviti yang berstruktur.

“Pembinaan Hab Pembelajaran ini bukan sahaja tercetus daripada keperluan, tetapi juga kreativiti dan semangat pelajar kami. Ia tempat di mana mereka boleh belajar, berkembang dan berhubung dengan komuniti mereka.

“Pelajar-pelajar ini melihat peluang untuk mengubah kawasan yang tidak digunakan kepada sesuatu yang bermakna. Dengan dana RM20,000.00 dan sokongan daripada Taylor’s College serta bimbingan mentor saya, Nur Syazadiyanah Suraini, semasa proses idealisasi hab pembelajaran, visi kami kini menjadi kenyataan.

“Ini hanyalah permulaan, tetapi ia adalah langkah penting untuk membantu pelajar kami mengatasi cabaran yang mereka hadapi,” kata Shawn.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh pelajar SK RPS Banun daripada Kumpulan Tarian Orang Asli Banun (BOA) bertajuk ‘Oi Tak’, yang memaparkan kekayaan warisan budaya dan tradisi komuniti Orang Asli.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh pelajar SK RPS Banun daripada Kumpulan Tarian Orang Asli Banun (BOA) bertajuk ‘Oi Tak’, yang memaparkan kekayaan warisan budaya dan tradisi komuniti Orang Asli.



Dibentuk berdasarkan input daripada kumpulan fokus seramai 16 peserta termasuk ibu bapa, Hab Pembelajaran ini menonjol dengan reka bentuk unik dan pembinaan berasaskan komuniti.

Dibina sendiri oleh komuniti setempat, ia menggabungkan fungsi pendidikan moden dengan warisan budaya serta menggunakan bahan kitar semula.

Ruang ini mempunyai tiga zon utama (Pembelajaran, Permainan dan Kolaborasi) yang direka untuk memenuhi keperluan pendidikan tertentu sambil memberikan fleksibiliti untuk kaedah pengajaran abad ke-21.

Panel dinding interaktif, mural yang dilukis oleh pelajar serta kawasan untuk penerokaan, teknologi, pembelajaran senyap, rekreasi dan didik hibur menggalakkan rasa ingin tahu termasuk kreativiti.

Kolaborasi berkenaan mencerminkan usaha kolektif komuniti untuk memupuk persekitaran pembelajaran yang hidup dan berbudaya.

Guru Besar SK RPS Banun, Mohd Zamarol Ahmad pula meluahkan penghargaan atas usaha sokongan dan kerjasama daripada pihak Taylor’s College, Teach For Malaysia dan Shawn dalam mewujudkan Hab Pembelajaran di sekolah berkenaan.

“Realiti dunia luar terasa jauh bagi ramai pelajar kami, tetapi dengan Hab Pembelajaran ini, kami membawa mereka lebih dekat dengan peluang-peluang yang ada.

“Inisiatif ini menunjukkan langkah besar ke hadapan untuk komuniti kami dan menjadi peringatan yang kuat tentang potensi yang boleh kita capai apabila kita bekerjasama.

“Bagi pihak sekolah dan komuniti, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Taylor’s College atas sokongan mereka yang amat bermakna. Dana RM20,000.00 dan projektor-projektor yang disumbangkan akan menambah baik sumber pengajaran kami serta membantu pelajar kami mencapai kejayaan,” ujar beliau.

Awal tahun ini, Taylor’s College telah menobatkan Shawn sebagai pemenang RISE Educator Award 2024. Pendidik berdedikasi yang sebelum ini mengajar di sebuah kampung terpencil di Gerik, Perak, ini menerima RM5,000.00 atas pencapaiannya dan RM20,000.00 untuk sekolahnya, Sekolah Kebangsaan RPS Banun.

Selain itu, empat finalis RISE Educator Award 2024 turut menerima RM1,000.00, dengan tambahan RM10,000.00 untuk sekolah masing-masing bagi meningkatkan kemudahan atau infrastruktur dalam menyokong persekitaran kondusif untuk pendidikan berkualiti.

Untuk maklumat lanjut mengenai RISE Educator Award, sila layari laman sesawang Taylor’s College di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!