Ops Noda Khas: 302 individu kena cekup
JOHOR BAHRU - Seramai 302 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Noda Khas yang dilancarkan bermula Jumaat lalu hingga Ahad.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi tersebut dilakukan dalam usaha membanteras aktiviti pelacuran, wanita pelayan pelanggan (GRO) dan elemen kongsi gelap di premis pusat hiburan.
“Sepanjang operasi, sebanyak enam pusat hiburan di sekitar daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri dan Seri Alam diserbu.
"Hasil sebuan tersebut, seramai 189 individu melibatkan 11 lelaki warga tempatan, seorang wanita warga tempatan, 16 lelaki warga asing dan 161 wanita warga asing berusia 18 hingga 63 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pelanggan mendapati 16 orang lelaki tempatan dan 12 wanita warga asing positif dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Untuk rekod, bermula Januari lalu hingga semalam (Ahad), sebanyak 388 serbuan di pusat hiburan di seluruh negeri ini dilancarkan dengan penahanan seramai 1,910 orang iaitu 211 warga tempatan dan 1,699 warga asing yang terbabit dengan pelbagai kesalahan di dalam pusat hiburan yang diserbu.
Tambah Kumar, polis turut merampas pelbagai peralatan seperti telefon bimbit, resit bayaran, mikrofon, speaker, mixer, TV, MP3, pemain cakera padat digital (DVD), amplifier, alat kawasan jauh, kain selempang dan wang tunai berjumlah RM2,510.
Kesemua barangan yang dirampas adalah bagi tujuan siasatan.
Sementara itu, Kumar berkata, polis menahan 14 individu melibatkan enam lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga asing dan enam wanita warga asing dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan.
Katanya, kesemua mereka ditahan atas kesalahan bermain judi dan pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM83,100 termasuk peralatan bermain judi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!