'Tidak perlu buat spekulasi mengenai tarikh peralihan kuasa'

Marzuki
Marzuki
A
A
A

SHAH ALAM - Penentuan tarikh peralihan kuasa jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah diputuskan atau dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berkata, bagaimanapun Anwar berhak menyuarakan perkara tersebut dalam mesyuarat diadakan pada 21 Februari nanti.

Menurutnya, ahli akar umbi Bersatu berpegang teguh menyokong kepimpinan Dr Mahathir untuk kekal menerajui negara sehingga akhir penggal.

"Tidak perlu buat spekulasi mengenai tarikh peralihan kuasa kerana ia memang tidak pernah dibincang atau diputuskan sebelum ini.

"Saya rasa tidak ada dalam agenda mesyuarat tapi kita akan buka untuk perbincangan. Dia (Anwar) boleh bangkitkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

"Tidak timbul isu tarikh sebelum atau selepas APEC (Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) sebab ia belum diputuskan lagi," katanya.

Status peralihan kuasa itu dijangka diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari depan.

Perkembangan itu diuar-uarkan oleh Anwar menerusi status Facebook beliau semalam.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir sebelum ini sudah berulang kali berjanji akan melepaskan jawatan kepada Anwar seperti perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018.

Tempoh seminggu hingga Jumaat depan akan dinantikan dengan penuh debaran oleh rakyat untuk mengetahui tarikh muktamad Dr Mahathir benar-benar sedia melepaskan jawatannya kepada Anwar.