Wanita rakam video ibu anak lima berniaga, tak sangka ramai hulur bantuan

Tangkap layar rakaman video Nur'ain mengenai ibu lima anak berniaga di kaki lima bank yang tular.
Tangkap layar rakaman video Nur'ain mengenai ibu lima anak berniaga di kaki lima bank yang tular.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita tidak menyangka rakaman video berkaitan peniaga di kaki lima berniaga sambil menjaga lima anak kecil yang dimuat naik di TikTok miliknya tular dan mendapat perhatian warga maya.

Nur'ain Shuhada Mohd Razali, 26, berkata, video itu juga menjadi pembuka rezeki buat peniaga terbabit kerana ramai yang menghulurkan bantuan.

Menurutnya, rakaman tersebut dibuat kerana dia sangat tersentuh melihat keadaan anak-anak kecil berada di sekeliling ibu sedang berniaga itu di kala malam hari serta hujan.

Nur'ain (dua dari kanan) bersama Juliana dan anak-anaknya.
Nur'ain (dua dari kanan) bersama Juliana dan anak-anaknya.

"Pada satu malam, saya menemani ibu mertua pergi bank untuk mengambil wang. Saya hanya menunggu di dalam kereta. Tiba-tiba nampak ibu bersama anak-anak kecil sedang berniaga buah di situ.

"Melihat bayi terbaring di pangkuan ibu, ada yang sedang tidur di atas lantai kaki lima bank itu, saya terdetik untuk membantu dan terus merakam mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Nur'ain, setelah ramai warganet yang ingin menghulurkan bantuan, dia cuba mencari kembali wanita terbabit.

Ujar peniaga dalam talian itu, rupa-rupanya firasat ketika pertama kali terpandang sangat tepat dan wanita tersebut yang dikenali Juliana sedang dalam kesusahan.

Artikel Berkaitan:

"Dua daripada lima anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme, yang paling kecil ada masalah pernafasan. Dia diceraikan suami ketika dua hari melahirkan anak yang bongsu. Ya ALLAH, semoga dia kuat dalam mengharungi kehidupan ini.

"Saya akan terus membantu Juliana, kelengkapan asas untuk dia dan anak-anak sudah diberikan, selepas ini saya fokus untuk membeli kelengkapan rumah pula," katanya.

Jelasnya, Juliana menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak mencukupi untuk menampung keluarganya.

Menurutnya, tidak lama lagi wanita terbabit juga akan berpindah ke Program Perumahan Rakyat (PPR) atas bantuan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan terbabit.

"Kini Juliana tidak lagi berniaga di kaki lima bank, dia membuat kuih dan menghantar ke kedai berhampiran pada setiap pagi.

"Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan buat Juliana boleh mesej langsung di TikTok saya, @aienshuhada1998," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!