KPM aktifkan SOP Ops Payung, pastikan ujian amali SPM lancar
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung bagi menghadapi Ujian Amali Sains Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual berlangsung ketika negara diramal dilanda gelombang kedua banjir.
KPM berkata, Ujian Amali Sains SPM itu dijadualkan berlangsung pada Isnin, Selasa dan Khamis ini.
"Ini penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon yang terjejas.
"KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga Rabu ini di tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.
KPM menegaskan, pihaknya mengambil serius MetMalaysia berkenaan dan telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
"Semua jawatankuasa diminta untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa.
"Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!