Sinergi antara universiti, industri dan swasta penting bangunkan industri semikonduktor - PM
GEORGE TOWN - Sinergi antara universiti, pihak industri serta swasta khususnya dalam membangunkan industri semikonduktor dan ekosistem berkaitan adalah sangat penting dalam memastikan Malaysia muncul sebagai hab semikonduktor di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, universiti awam khususnya di wilayah utara diminta agar memberi peluang yang mencukupi kepada pihak industri untuk bekerjasama dalam meneroka disiplin ilmu baharu berkaitan industri berteknologi tinggi.
Menurutnya, sinergi itu dilihat penting dalam industri tersebut khususnya di negeri ini, selaras dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor di rantau ini.
"Adalah penting sinergi antara universiti dan pihak industri serta swasta, khususnya dalam membangunkan industri semikonduktor dan ekosistem berkaitan.
"Ia juga penting bagi memenuhi keperluan mendesak negara terhadap jurutera berkelayakan yang mencukupi dalam bidang industri berteknologi tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC)," katanya dalam ucapan perasmian Penang Silicon Design @5km+ di Hotel Eastin di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, MenteriPelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Tambah Anwar, universiti perlu menyediakan ruang yang secukupnya untuk pihak industri terlibat secara lebih agresif.
"Kita boleh membuat penyesuaian yang diperlukan daripada semasa ke semasa, tetapi cara terbaik untuk mendidik, melatih, meningkatkan kemahiran dan memperbaharuinya adalah dengan memastikan sinergi dan kerjasama erat antara industri dan institusi pendidikan.
“Ini penting untuk memastikan misi pendidikan dapat dicapai dengan pantas serta persediaan untuk membuat penyesuaian,” katanya.
Anwar menambah, Malaysia tidak menghadapi kesukaran untuk menarik pelabur asing kerana tiga faktor utama iaitu dasar negara yang jelas, politik stabil serta ekosistem dan infrastruktur.
"Tidak sukar untuk menarik pelabur ke negara ini kerana, pertama, dasar negara yang jelas serta kestabilan politik, tetapi ekosistem masih menjadi cabaran dalam menarik pelaburan tersebut.
“Pastikan infrastruktur asas disediakan dengan segera. Bagaimana pula dengan latihan? Sama ada universiti dapat memberi tumpuan kepada disiplin-disiplin baharu dengan kadar yang pantas.
“Oleh itu, saya ingin mengingatkan USM (Universiti Sains Malaysia), UUM (Universiti Utara Malaysia) serta pusat-pusat berkaitan di Pulau Pinang, universiti di Perak dan Kedah supaya memastikan disiplin-disiplin baharu ini diluluskan dengan cepat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, Anwar menyatakan kekagumannya terhadap Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana berjaya meluluskan penubuhan Fakulti AI dan memulakan program itu dalam tempoh empat bulan.
"Ia satu rekod luar biasa di negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!