Kegiatan curi kenderaan, jual di pasaran gelap terbongkar

Kenderaan yang dicuri serta beberapa peralatan dirampas susulan tangkapan tujuh lelaki sekitar Cheras dan Air Keroh, Melaka pada Khamis.
Kenderaan yang dicuri serta beberapa peralatan dirampas susulan tangkapan tujuh lelaki sekitar Cheras dan Air Keroh, Melaka pada Khamis.
A
A
A

AMPANG JAYA - Kegiatan mencuri kenderaan untuk dijual di pasaran gelap terbongkar susulan tangkapan tujuh lelaki sekitar Cheras dan Air Keroh, Melaka pada Khamis.

Kesemua suspek warga tempatan sebelum itu dilaporkan terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Dato Ahmad Razali di sini, 26 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan dibuat mangsa berkaitan kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 pagi.

"Mangsa yang berada di rumahnya itu mendengar bunyi bising di bahagian tingkat bawah.

"Mangsa yang melakukan pemeriksaan kemudiannya mendapati kunci rumah serta kenderaan, beberapa utas jam tangan, dompet dan kenderaan miliknya yang diparkir di hadapan rumah telah tiada," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, anggaran kerugian dialami mangsa berjumlah kira-kira RM58,000.

"Siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sekitar kawasan Cheras dan Air Keroh, Melaka pada Khamis.

"Serbuan berkenaan berjaya memberkas tujuh lelaki tempatan berumur lingkungan 27 hingga 45 tahun serta merampas satu kenderaan jenis Honda CRV milik mangsa dan beberapa barangan lain yang dilaporkan dicuri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

"Siasatan mendapati motif mencuri kenderaan adalah untuk dijual kepada pembeli secara haram," katanya.

Mohd Azam berkata, kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Ringkasan berita:

  • Kegiatan mencuri kenderaan untuk dijual di pasaran gelap terbongkar.
  • Tujuh lelaki ditangkap di Cheras dan Air Keroh, Melaka pada Khamis.
  • Suspek terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Dato Ahmad Razali pada 26 November.
  • Mangsa kehilangan kunci rumah, kenderaan, jam tangan, dompet, dan kenderaan yang diparkir.
  • Anggaran kerugian mangsa sekitar RM58,000.
  • Serbuan oleh polis berjaya menahan tujuh lelaki berumur 27 hingga 45 tahun dan merampas kenderaan Honda CRV serta barangan lain.
  • Semua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
  • Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah. Motif kecurian adalah untuk menjual kenderaan secara haram.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Dijana oleh AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!