Janji PRU14 bina klinik kesihatan ditunai

Boon Chye (sembilan, kiri) bersama pegawai kesihatan dan pemimpin setempat melawat tapak cadangan pembinaan klinik kesihatan.
Boon Chye (sembilan, kiri) bersama pegawai kesihatan dan pemimpin setempat melawat tapak cadangan pembinaan klinik kesihatan.
A
A
A

BUKIT SENTOSA - Hasrat penduduk setempat untuk memiliki sebuah klinik kesihatan dekat sini bakal tercapai apabila tapak seluas 6.881 ekar diwartakan bagi tujuan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, klinik kesihatan itu di Bandar Bukit Sentosa akan menampung keperluan penduduk bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Menurutnya, kerja pembinaan klinik kesihatan jenis tiga itu dijangka bermula pada 2020 dan kebiasaan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

"Klinik kesihatan jenis tiga merangkumi perkhidmatan sakit luar, x-tray dan juga makmal.

"Maka kita akan teliti dan akan kemukan cadangan pembinaan dan harap kalau boleh dalam 2020 pembinaan akan dimulakan.

"Kos membabitkan lebih kurang RM35 juta dan kita dapati ia satu keperluan kerana penduduk ramai dan jauh daripada fasiliti kesihatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak cadangan pembinaan klinik berkenaan berhampiran Taman Bunga Kertas, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui; Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Siti Rohana Saad.

Artikel Berkaitan:

Boon Chye berkata, klinik ibu dan kanak-kanak serta klinik komuniti yang kini menyewa bangunan di bandar tersebut akan berpindah ke bangunan baharu itu selepas pembinaan siap.

Sementara itu, June Leow berkata, Klinik Kesihatan Bukit Sentosa merupakan salah satu janji PRU14 lalu berikutan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan klinik kesihatan.

Menurutnya, penduduk kini terpaksa mengeluarkan kos pengangkutan lebih tinggi kerana klinik terdekat terletak di Serendah dan Kuala Kubu Bharu.

"Ini adalah bukti keprihatinan Kerajaan Pakatan Harapan yang peka terhadap permasalahan rakyat," katanya.