Kaki pancing berkumpul 'naikkan' ikan patin selepas banjir

Suasana di atas Jambatan Kampung Jubakar Pantai. Foto: Pengguna TikTok
Suasana di atas Jambatan Kampung Jubakar Pantai. Foto: Pengguna TikTok
A
A
A

TUMPAT - Jambatan Kampung Tujuh Jubakar Pantai di sini meriah dengan kehadiran ramai kaki pancing yang memancing ikan patin selepas bencana banjir minggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 7 malam mendapati ramai kaki pancing yang berada di kawasan itu selain ada yang baru tiba untuk memancing ikan berkenaan.

Seorang kaki pancing dari Tanah Merah, Fadlullah Mat Arif, 21, tidak kisah memandu lebih 50 kilometer (km) untuk memancing selepas tular di media sosial minggu lalu.

Bagaimanapun, Fadlullah tidak mendapat maklumat punca spesies ikan itu terlalu banyak di kawasan berkenaan.

Fadlullah menunjukkan ikan patin yang dipancing.
Fadlullah menunjukkan ikan patin yang dipancing.

"Ramai kaki pancing tidak pulang tangan kosong malah saya sendiri berjaya mendapatkan dua ekor patin masing-masing mungkin seberat 1 kilogram dan 300 gram," katanya.

Fadlullah yang sudah sembilan tahun berpengalaman memancing memberitahu, hanya mahu mencuba dan selepas ini mungkin tidak lagi datang ke situ.

Sementara itu, kaki pancing dari Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu Muhd Shah Ishraf Shahberi, 17, tiba jam 6 petang di lokasi itu selepas melihat suasana meriah di aplikasi TikTok.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jarak kira-kira 30km bukan penghalang untuk dia cuba memancing ikan patin buat kali pertama di kawasan berkenaan.

Muhd Shah Ishraf (kiri) bersama Shahniezamyusry mencuba nasib memancing ikan patin
Muhd Shah Ishraf (kiri) bersama Shahniezamyusry mencuba nasib memancing ikan patin

"Kami memang tidak menggunakan umpan tetapi ramai yang sudah berjaya menaikkan ikan pelbagai saiz," katanya.

Pelajar Tingkatan Lima itu juga akan pulang pada jam 9 malam namun tidak pasti jumlah ikan yang boleh dipancing.

Rakannya, Shahniezamyusry Shaari, 27, juga mahu menikmati suasana memancing ikan berdekatan kawasan berkenaan.

"Ramai rakan yang memberitahu saya banyak ikan patin di sini dan kami sekadar mahu mencuba nasib," katanya.

Shahniezamyusry yang tinggal Kampung Padang Tembak, Pengkalan Chepa gemar memancing di pinggir pantai dan biasanya akan menaikkan ikan gelama.

Tular di media sosial sejak minggu lalu ribuan kaki pancing berkumpul di jambatan berdekatan pintu air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk memancing ikan patin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!