Skuad Perkasa bantu warga Imigresen terjejas banjir
PUTRAJAYA - Skuad Ihsan Madani (Skuad Perkasa) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilancarkan sebagai inisiatif menyediakan bantuan kemanusiaan dan sokongan pemulihan warganya.
JIM dalam kenyataan berkata, skuad itu dilancarkan Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban pada Jumaat, seiring dengan komitmen Perdana Menteri semasa Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani bagi mangsa banjir pada 4 Disember lalu.
"Skuad Ihsan Madani ini adalah manifestasi keprihatinan JIM terhadap kebajikan warga kerja yang terjejas.
"Ini disokong oleh kerjasama erat antara Koperasi Imigresen Malaysia (Koprima), Kesatuan Pegawai Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Persatuan Penguasa Imigresen Malaysia (PPIM), Majlis Kebajikan dan Sukan Imigresen Malaysia (Maksim) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita).
"Objektif utama ialah menyediakan bantuan kemanusiaan, sokongan pemulihan dan meningkatkan kerjasama dengan badan sukarelawan lain," katanya pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, inisiatif ini diharapkan dapat meringankan bebanan warga JIM yang dilanda musibah bencana banjir.
"Di samping itu program khidmat masyarakat ini turut disasarkan bagi membantu masyarakat awam dalam aktiviti-aktiviti pascabanjir," ujarnya.
Ujarnya lagi, skuad berkenaan terdiri daripada 100 sukarelawan JIM dari seluruh negara yang akan digerakkan pada 10 hingga 12 Disember untuk memberikan bantuan segera, sokongan moral dan pemulihan kepada 160 warga kerja JIM yang terjejas di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Kerjasama ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan JIM terhadap warga kerjanya serta usaha untuk terus bersama-sama membantu dan menyokong antara satu sama lain dalam menghadapi cabaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!