RMHC Malaysia bantu masyarakat kurang berkemampuan

Dua dari kiri: Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin dan Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar menyampaikan sumbangan Pek Kembali ke Sekolah kepada murid- murid dari daerah Tampin.
Dua dari kiri: Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin dan Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar menyampaikan sumbangan Pek Kembali ke Sekolah kepada murid- murid dari daerah Tampin.
A
A
A

TAMPIN - Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) meneruskan Program Pek Kembali Ke Sekolah untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Bagi sesi persekolahan 2025, seramai 10,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara disasarkan menerima manfaat yang melibatkan peruntukan sekitar RM1 juta.

Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin berkata, sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2017, sebanyak RM10 juta telah dibelanjakan dengan hampir 200,000 kanak-kanak yang menerima manfaat.

“Sepanjang melaksanakan program ini, kami menerima banyak maklum balas positif daripada ibu bapa, guru-guru dan pihak sekolah.

“Malah, acara ini amat dinantikan oleh kanak-kanak setiap tahun dan disebabkan itu kita teruskan usaha ini pada tahun ini bersama dengan rakan korporat dan individu yang amat mendukung program ini setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pek Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, Kampung Pasir Besar di sini, baru-baru ini.

Ujar Nasri, seperti tahun sebelumnya, tahun ini juga RMHC Malaysia menyasarkan seramai 10,000 penerima seluruh negara termasuk murid prasekolah.

Jelasnya, ia akan diadakan secara berperingkat dan akan diselesaikan sebelum sesi persekolahan bermula pada Mac tahun depan.

Artikel Berkaitan:

“RMHC Malaysia bekerjasama dengan wakil sekolah, wakil organisasi untuk mendapatkan senarai murid yang memerlukan di setiap negeri dan akan membuat pengedaran melalui mereka.

“Pada tahun ini, Mydin adalah rakan pembekal tunggal Pek Kembali ke Sekolah. Kita berharap usaha sama ini boleh melancarkan pengagihan kerana Mydin berada di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia,” katanya.

Azmir (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Pek Kembali ke Sekolah kepada wakil salah sebuah sekolah dalam daerah Tampin.
Azmir (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Pek Kembali ke Sekolah kepada wakil salah sebuah sekolah dalam daerah Tampin.



Pada majlis itu, seramai 350 muridmurid daripada 11 sekolah rendah dan empat Tabika Kemas di daerah Tampin telah menerima bantuan tersebut.

Dianggarkan seramai 1,000 murid dari Negeri Sembilan akan menerima bantuan tersebut dan Yayasan Jaafar Ahmad merupakan rakan penaja utama telah menyumbang kepada RMHC Malaysia bagi menjayakannya.

Ringankan beban ibu bapa

Sementara itu Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, teras pendidikan RMHC Malaysia adalah membantu keluarga dari golongan berpendapatan rendah dan miskin bandar dalam menyediakan keperluan persekolahan kepada anak-anak mereka yang akan melangkah ke alam persekolahan formal buat pertama kali.

Ujarnya, melalui program tersebut, pihaknya bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan ibu bapa, malah dapat memberi motivasi kepada anak-anak prasekolah untuk ke sekolah.

“Semoga mereka akan bersemangat untuk belajar dan menjadi insan yang berjaya, seterusnya berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Azmir yang juga pengasas Yayasan Jaafar Ahmad berkata, kerjasama RMHC Malaysia dan yayasan berkenaan turut meliputi program-program kebajikan dan kemasyarakatan seluruh Negeri Sembilan terutamanya usaha-usaha yang membabitkan kebajikan kanakkanak.

“Sejak penubuhan yayasan ini, kita tidak pernah diam menyantuni golongan memerlukan di Negeri Sembilan melalui pelbagai sumbangan, termasuk pada bulan Ramadan.

“Secara keseluruhan, Yayasan Jaafar Ahmad telah menyumbang hampir RM600,000 melalui RMHC Malaysia untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Negeri Sembilan.

“Ini termasuklah tajaan berbuka puasa barangan keperluan harian, sumbangan wang tunai serta menaja pembukaan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald yang terletak di McDonald’s Tampin, yang membantu komuniti masyarakat mendapatkan rawatan khusus dari terapis yang bertauliah,” katanya.

Nasri dan Azmir bersama murid-murid yang menerima sumbangan Pek Kembali ke Sekolah di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, Kampung Pasir Besar, Tampin, barubaru ini.
Nasri dan Azmir bersama murid-murid yang menerima sumbangan Pek Kembali ke Sekolah di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar, Kampung Pasir Besar, Tampin, barubaru ini.



Sementara itu, seorang warga emas Hamidah Alias, 68, meluahkan rasa syukur kerana cucu lelakinya yang berusia 10 tahun menjadi salah seorang penerima bantuan terbabit sekali gus dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

Hamidah berkata, dengan bantuan berkenaan, dia tidak perlu bimbang lagi memikirkan persediaan persekolahan cucunya itu pada tahun hadapan.

“Ibu kepada cucu saya ini hanya bekerja di kedai serbaneka di Kuala Lumpur manakala bapanya telah meninggal dunia akibat lemas sejak sembilan tahun lalu.

“Sejak dia masih kecil bersama saya, dengan bantuan ini saya tak perlu risau lagi mengenai persiapan persekolahannya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!