Juadah Makmur Pahang: Nikmat kongsi rezeki
KUANTAN - Program Juadah Makmur (JM) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pahang membuktikan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Usaha ini bukan sahaja meringankan beban masyarakat, tetapi juga memupuk nilai murni berkongsi rezeki.
Keberkesanan program ini telah mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak dan dan wajar diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Masjid Tepian Putra, Datuk Hamdan Hussin berkata, program JM adalah salah satu inisiatif yang baik yang dilakukan kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam usaha menyantuni rakyat.
Menurutnya, program menyediakan juadah makanan kepada jemaah masjid setiap hari Jumaat, memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan yang memerlukan.
"Juadah yang disediakan ini dinikmati hampir semua yang hadir ke masjid, menunjukkan bahawa inisiatif ini memberikan impak positif terhadap pandangan rakyat kepada kerajaan negeri.
"Ia tidak hanya membantu mereka yang memerlukan tetapi turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menyantuni masyarakat," katanya pada Sinar Harian pada Jumaat.
Hamdan memberitahu, usaha ini melatih masyarakat untuk mengamalkan budaya memberi dan menyumbang, selari dengan ajaran Islam.
Jelasnya, sebagai contoh Masjid Tepian Putra yang sering menerima sumbangan daripada pelbagai pihak pada hari Jumaat, seperti makanan atau barangan lain.
“Inisiatif seperti ini dapat meningkatkan kesedaran dan mendidik semua peringkat masyarakat, daripada kanak-kanak hingga dewasa, tentang pentingnya memberi dan berbuat kebajikan,” tambah beliau.
Beliau turut menyarankan agar program ini tidak hanya diteruskan, tetapi juga ditingkatkan supaya lebih banyak pihak mendapat manfaat dan budaya berkongsi rezeki dapat terus subur dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif murni perlu diteruskan
Senada dengan itu, Pengerusi Masjid At-Taqwa Felda Bukit Sagu 2 dan 3, Syed Abu Bakar Syed Husin berkata, program JM mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan sebahagian pendapatan negeri dikongsi bersama rakyat.
Tambahnya, malah ia sangat bertepatan untuk memberi kesedaran kepada jemaah masjid betapa amalan kongsi rezeki digalakkan dalam Islam.
"Agihan juadah ini banyak membantu golongan yang memerlukan dan ia mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar inisiatif ini diteruskan kerana ia berjaya mewujudkan semangat perpaduan tanpa mengira fahaman politik.
Katanya, program ini memberi peluang kepada semua pihak untuk merasai nikmat berkongsi rezeki dalam suasana harmoni dan inklusif.
“Apa yang saya lihat, kebanyakan penerima mengenepikan fahaman politik dan menerima program ini dengan hati terbuka.
"Walaupun ada segelintir yang kurang menyambut baik, majoriti masyarakat sangat menghargainya,” tambah beliau.
Beri impak positif kepada rakyat
Sementara itu, Imam Satu Masjid Jamek Kampung Kuala Kenau, Mohamad Nasir Abdul Rahman berkata, program JM menjadi simbol ketelusan kerajaan negeri dalam mengagihkan rezeki anugerah ALLAH kepada rakyat.
Ujarnya, ia membawa impak positif bukan sahaja kepada kehidupan harian mereka tetapi juga kepada pandangan rakyat terhadap kerajaan negeri.
"Juadah disediakan, pada hari Jumaat dinikmati oleh hampir semua (jemaah) yang hadir, ini memberi pertanda bahawa inisiatif ini memberi impak baik kepada kerajaan negeri," katanya.
Beliau menambah, pemberian juadah ini juga membantu menjimatkan masa dan perbelanjaan jemaah, khususnya pada hujung minggu.
Terdahulu, Wan Rosdy berkata, program JM antara inisiatif penting dalam memupuk nilai kebersamaan dan menyantuni rakyat melalui amalan berkongsi rezeki.
Menurut beliau, pemberian makanan secara percuma yang dilaksanakan melalui program itu selaras dengan ajaran Islam dan sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW.
Wan Rosdy juga memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radiallahuanhu.
"Ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW; "Islam manakah yang paling baik?" Nabi SAW menjawab: "Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal". (Hadis Riwayat Bukhari).
"Hadis ini menekankan bahawa amalan memberi makan adalah salah satu ciri utama kebaikan dalam Islam. Ia bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal, tetapi juga menghidupkan semangat ukhuwah, merapatkan jurang sosial, dan membawa keberkatan kepada kita semua," katanya.
Beliau ketika pada sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada Jumaat.
Wan Rosdy menjelaskan, program itu disasarkan kepada jemaah solat Jumaat kerana masjid merupakan pusat kesatuan umat Islam, dan waktu solat Jumaat adalah masa terbaik untuk mendekati semua lapisan masyarakat.
Selain itu, pemberian juadah tidak hanya terhad kepada jemaah solat Jumaat, tetapi turut melibatkan jemaah haji melalui pemberian pek makanan retort ready-to-eat sebagai bekalan ketika berada di Tanah Suci.
"Program ini juga memberikan limpahan ekonomi kepada pengusaha makanan, pembekal bahan mentah, serta pekerja-pekerja mereka. Ini sekali gus merancakkan sektor ekonomi setempat," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!