Wanita cedera, terperangkap dalam kebakaran kedai

Anggota bomba memotong jeriji tingkap bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di tingkat atas premis. Foto ihsan JBPM
Anggota bomba memotong jeriji tingkap bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di tingkat atas premis. Foto ihsan JBPM
A
A
A

MARAN - Seorang wanita cedera selepas sebuah premis kedai makan dua tingkat di bandar Maran di sini terbakar pada pagi Khamis.

Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 61 tahun terperangkap di tingkat atas sebelum diselamatkan oleh anggota bomba.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kebakaran turut merebak ke dua premis berhampiran.

Sebuah premis kedai makan dua tingkat musnah dalam kebakaran tersebut. Foto ihsan JBPM
Sebuah premis kedai makan dua tingkat musnah dalam kebakaran tersebut. Foto ihsan JBPM

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.43 pagi sebelum 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran dibantu lapan anggota BBP Jengka dan 10 lagi dari BBP Bukit Angin bersama beberapa jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Komander operasi melaporkan berlaku kebakaran kedai dua tingkat melibatkan tiga unit kedai berkeluasan 6.0 X 15.2 meter persegi setiap kedai.

"Kebakaran menyebabkan premis kedai makan nombor 62 musnah 100 peratus, sebuah lagi kedai nombor 61 (20 peratus) dan nombor 63 musnah 10 peratus," katanya.

Premis kedai makan dua tingkat yang musnah 100 peratus akibat kebakaran pada Khamis. Foto ihsan JBPM
Premis kedai makan dua tingkat yang musnah 100 peratus akibat kebakaran pada Khamis. Foto ihsan JBPM

Ujarnya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos 61 meter, satu pancutan dan dua aliran salur bantu mula air tangki pam jentera dari air pili bomba.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, terdapat seorang wanita terperangkap di tingkat dua bangunan.

"Kerja-kerja pemotongan jeriji tingkap dilakukan menggunakan gergaji bulat dan tangga bagi menyelamatkan mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Ismail Dollah, 64, berkata, ketika kejadian isterinya, Normah Mat, 61, berada di tingkat atas menunaikan solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi selepas selesai memasak sebelum terperangkap akibat kebakaran yang dipercayai bermula dari tingkat bawah.

"Saya ada datang membantu sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 5.40 pagi dan menerima panggilan daripada pekerja mengenai kejadian itu.

"Sampai sahaja di kedai kira-kira 7 pagi, bomba sedang padamkan api dan syukur kerana isteri berjaya diselamatkan. Walaupun sedih banyak kerugian dialami tapi paling penting nyawa isteri," ujarnya yang sudah lima tahun berniaga di premis terbabit.

Tambahnya, jumlah kerugian masih belum dapat dianggarkan setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!