Johor mohon 20 peratus hasil cukai dari Putrajaya
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor memohon kerajaan Persekutuan agar mengembalikan 20 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, permohonan dibuat kerajaan negeri kali ini selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini.
"Kerajaan negeri sekali lagi memohon dan merayu kepada Kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di negeri ini untuk disalurkan kembali kepada Johor.
"Permohonan ini amat penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan manfaat hasil negeri dan untuk memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif, demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang," katanya.
Onn Hafiz (BN- Machap) berkata demikian semasa ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini, pada Ahad.
Ketika ditanya Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mengenai jumlah sebenar permohonan cukai yang diminta adakah 20 peratus atau 30 peratus.
"20 peratus dahulu, kalau dapat 10 peratus dulu pun tidak mengapa. Contoh Seri Medan meminta peruntukan RM10 juta (pembangunan) di Johor terdapat 56 DUN, bayangkan sudah hampir setengah billion.
"Banyak perkara yang kita nak buat (pembangunan) di kawasan masing-masing,"katanya.
Sebelum itu pada Jun lalu, Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan untuk memberi balik 20 hingga 30 peratus tertentu hasil cukai yang dikutip dari Johor.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismai bertitah, pada masa ini Kerajaan Negeri Johor memberikan antara RM48 billion hingga RM49 bilion setahun cukai negeri kepada Kerajaan Persekutuan.
Dalam penggulungan itu, Onn Hafiz turut mengumumkan inisiatif tambahan Belanjawan Johor 2025 sebanyak RM26 juta.
Antaranya RM300,000 diperuntukkan bagi Dewan Muda Johor, sebuah platform Orang Muda Johor yang menyalurkan kritikan, saranan serta ikhtiar semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.
"Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, RM200,000 diperuntukkan bagi Persatuan Pesara Polis dan RM200,000 diperuntukkan bagi Persatuan Pesara Tentera.
"Turut diberi peruntukkan tambahan RM800,000 bagi 15 Kem Tentera di seluruh negeri Johor. RM750,000 diperuntukkan bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan 13 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri Johor.
"Tidak ketinggalan peruntukan RM150,000 kepada Kelab Media Johor sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!