Harrif buru gelaran Raja Pecut

Para pemenang jersi utama bergambar bersama selepas berakhirnya Peringkat 7 LTdL 2020 di Menara Alor Setar hari ini.
Para pemenang jersi utama bergambar bersama selepas berakhirnya Peringkat 7 LTdL 2020 di Menara Alor Setar hari ini.
A
A
A

PAKAR pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh sekali lagi menampilkan kayuhan bertenaga apabila mengungguli Peringkat 7 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Bagan ke Alor Setar, Kedah hari ini.

Pada perlumbaan sejauh 130.4km dari Dewan Datuk Haji Abdullah Badawi di Bagan ke Menara Alor Setar itu, Harrif merekodkan catatan masa 2 jam 53 minit dan 18 saat.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik pelumba pasukan Bardiani CSF Faizane, Matteo Pelucchi dan Taj Jones (Ara Pro Racing Sunshine Coast) yang turut merakamkan masa sama.

Bagi Harrif yang juga anak kelahiran Kuala Terengganu, kejayaan itu menyaksikan dia muncul pelumba terbaik Malaysia dalam sejarah penganjuran LTdL selepas memenangi tiga peringkat perlumbaan setakat ini.

Harrif mengangkat tangan tanda kegembiraan selepas berjaya melepasi garisan penamat Peringkat 7 PETRONAS LTdL 2020 di Menara Alor Setar hari ini.
Harrif mengangkat tangan tanda kegembiraan selepas berjaya melepasi garisan penamat Peringkat 7 PETRONAS LTdL 2020 di Menara Alor Setar hari ini.

"Saya tak sangka boleh menang hari ini. Rakan-rakan sepasukan banyak membantu mengatur strategi bagi membuka laluan untuk saya berada di depan bagi memecut ke garisan penamat.

"Saya tengok laluan hari ini agak landai dan beralun, jadi memang ada peluang kepada saya atau mana-mana pelumba pecut. Semangat dan sokongan padu daripada rakan sepasukan memberi inspirasi kepada saya," kata Harrif selepas berakhirnya perlumbaan.

Kelmarin, Harrif atau lebih terkenal dengan panggilan Mamat menjuarai Peringkat 5 dari Kuala Kubu Bharu, ke Ipoh yang melibatkan laluan perlumbaan sejauh 165.8km.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Harrif, 31, meraih kemenangan sulung dalam LTdL apabila menjuarai Peringkat 2 LTdL 2019 dari Dataran Senawang ke Melaka, sekali gus mengikut jejak langkah bekas rakan sepasukannya yang juga pakar pecut, Anuar Manan.

Anuar yang ketika itu mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia muncul pelumba Malaysia pertama memenangi peringkat perlumbaan LTdL selepas mengungguli Peringkat 5 LTdL 2010 dari Muar ke Port Dickson.

Harrif memenangi Peringkat 7 LTdL 2020 sejauh 130.4 kilometer dari Dewan Dato’ Hj Ahmad Badawi Bagan ke Menara Alor Setar hari ini.
Harrif memenangi Peringkat 7 LTdL 2020 sejauh 130.4 kilometer dari Dewan Dato’ Hj Ahmad Badawi Bagan ke Menara Alor Setar hari ini.

Dalam pada itu, Harrif yang mula menyertai LTdL sejak edisi 2008, optimis mampu merampas Jersi Hijau PETRONAS selaku Raja Pecut daripada pelumba Jerman, Maximilian Richard Walscheid menjelang peringkat terakhir di Langkawi hari ini.

Walscheid yang memenangi Jersi Hijau sejak peringkat ketiga di Kuala Lumpur, masih mengungguli kedudukan teratas menerusi kutipan 47 mata - berkelebihan lima mata di depan Harrif.

Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Danilo Celano masih menyarung Jersi Kuning PETRONAS selaku pendahulu keseluruhan manakala Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) kekal milik pelumba Vino-Astana Motors, Yevgeniy Fedorov.

Pelumba muda negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff yang mewakili TSC pula kekal menyarung Jersi Merah (Raja Bukit). Sebagai rekod, pelumba Malaysia tidak pernah memenangi Jersi Merah sejak LTdL diperkenalkan pada 1996.