X

Kindly register in order to view this article
!

Polis, tentera ditahan sertai geng samun didalangi warga Bangladesh

Shafa'aton menunjukkan antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya tujuh lelaki di sekitar Lembah Klang dalam Ops Rentap bermula 3 Februari sehingga 12 Februari.
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang anggota polis dari Bukit Aman yang berpangkat koperal dicekup dalam operasi Ops Rentap selepas dipercayai bersubahat dengan Geng Rana yang didalangi warga Bangladesh melakukan jenayah samun.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, seramai tujuh lelaki termasuk empat warga Bangladesh diberkas dalam operasi membabitkan lima lokasi sekitar Lembah Klang bermula 3 Februari sehingga semalam.

Beliau berkata, serbuan pertama di sebuah apartmen di Taman Pasir Permata, Kuala Lumpur menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki dalang kumpulan itu.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah hotel di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur dan menangkap tiga lagi lelaki warga sama dan soal siasat kemudian membawa kepada tangkapan anggota polis terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.

Antara peralatan yang dirampas dirampas susulan tertangkapnya tujuh lelaki di sekitar Lembah Klang dalam Ops Rentap bermula 3 Februari sehingga 12 Februari.
Antara peralatan yang dirampas dirampas susulan tertangkapnya tujuh lelaki di sekitar Lembah Klang dalam Ops Rentap bermula 3 Februari sehingga 12 Februari.

Shafa'aton berkata, polis kemudian menahan dua lagi lelaki tempatan masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anggota tentera.

Menurutnya, antara barang yang dirampas ialah wang tunai RM500, 136 keping kad telco tambah nilai, enam unit telefon bimbit dan sepasang gari.

Shafa'aton mendedahkan modus operandi geng terbabit ialah menyamar sebagai pegawai polis dengan menyasarkan pekerja warga asing sebagai mangsa dan diarah menyerahkan wang sebelum dibebaskan.

"Geng ini dipercayai aktif sejak tahun lalu dan kita mengenal pasti tiga kes menyamar anggota polis di sekitar Kuala Selangor dan Sungai Buloh.

"Kesemua suspek kini direman sehingga 17 Februari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sungai Buloh.