Pemuda UMNO minta Guan Eng jaga tepi kain sendiri

Lim Guan Eng (kiri) dan Noor Hariri Mohamed Noor
Lim Guan Eng (kiri) dan Noor Hariri Mohamed Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan menempelak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya menjaga hal ehwal dalaman sendiri berbanding menjaga tepi kain orang lain.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, parti itu juga perlu memberi tumpuan membersihkan pemimpin-pemimpin mereka yang terpalit dengan beberapa isu kontroversi ketika ini daripada mengkritik kerjasama UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional.

“Pemuda UMNO Kelantan menggesa Guan Eng untuk menjaga hal ehwal parti DAP sendiri yang umum mengetahui Mesyuarat Pemilihan CEC DAP sebelum ini tidak sah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu katanya, dakwaan Guan Eng terhadap Muafakat Nasional juga jelas menzahirkan ketakutan pemimpin DAP itu terhadap kekuatan dan kerjasama kukuh yang terserlah antara kedua-dua parti pembangkang itu ketika ini.

Noor Hariri berkata, bukan itu sahaja, kenyataan Guan Eng bahawa Muafakat Nasional hanya akan menyebabkan dominasi kepada orang Islam dan memberi ancaman kepada bukan Islam juga disifatkan sebagai dangkal.

“Sejarah telah membuktikan, sepanjang pemerintahan kerajaan UMNO-BN lebih enam dekad terdahulu, negara berada dalam keadaan aman tanpa sebarang isu pelik dan memalukan maruah Malaysia.

“Ini akan diperkukuhkan lagi dengan agenda penyatuan seluruh kaum yang digarap di dalam Muafakat Nasional yang ternyata mendapat keyakinan penuh majoriti rakyat Malaysia sekarang ini,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Guan Eng sudah kehabisan modal apabila memutarbelitkan kenyataan dengan membuat tuduhan kepada UMNO dan Pas dalam isu boikot produk dan perniagaan bukan Muslim.

Artikel Berkaitan:

“Tidak ada satu pun arahan daripada pimpinan UMNO-Pas untuk boikot produk-produk ini.

"Hanya badan bukan kerajaan (NGO) Muslim membuat gerakan Buy Muslim First bagi merancakkan ekonomi peniaga Muslim supaya dapat duduk setara dengan peniaga bangsa lain.